Pelakon terkenal, Remy Ishak turut berdukacita dengan insiden yang menimpa juruterbang, Allahyarham Shahrul Kamal Roslan yang merupakan antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas jet persendirian dekat Elmina pada petang Khamis.
Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, pemergian Allahyarham Shahrul sememangnya mengejutkan dirinya kerana mereka dikhabarkan baru sahaja bertemu beberapa hari yang lalu.
“Inallillahirwainailayhirhojiun. Takziah buat Shefa dan family atas pemergian Captain Shahrul Kamal dalam nahas pesawat yg berlaku di Elmina semalam.
“Baru dua hari lepas jumpa Kak Iza, arwah dan isterinya, Shefa at Mozers Shah Alam,” tulisnya.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh pelakon drama Hijrah Jannah itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Remy turut memanjatkan doa semoga arwah ditempatkan dikalangan orang beriman selain turut
berharap isteri dan keluarganya diberikan ketabahan untuk menempuh detik sukar itu.
“Hari ni buka whatsapp dapat this sad news. I’m so sorry to hear this Shefa, Moga Allah tempatkan Shahrul bersama orang-orang yang beriman. Amin ya rabb,” kongsinya lagi.
Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, ibu kepada Allahyarham Shahrul Mahanom Ismail, memaklumkan anaknya itu seorang yang manja dan amat dekat dengannya.
“Arwah rapat dan manja dengan saya, kalau balik rumah saya..dari jauh lagi, ‘mama..mama, buka pintu’.
“Saya akan merindui segalanya mengenai arwah, suara dia memanggil saya,” katanya seperti yang dipetik.
Katanya Mahanom lagi, anak bongsu daripada dua beradik itu kali terakhir menghubunginya sebelum dia menjalani pembedahan di Hospital Angkatan Tentera (ATM) Tuanku Mizan di ibu negara pada 24 Julai lalu.
“Sehari sebelum menjalani pembedahan usus dan hempedu, dia (anak) ada menghubungi saya untuk bertanya khabar.
“Sebelum meletakkan telefon, dia berkata ‘adik sayang mama sangat’,” kongsinya lagi.
Keseluruh mangsa yang terlibat dalam nahas ini adalah seramai 10 orang termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.
Pesawat tersebut sepatutnya dijadualkan mendarat pukul 2.40 petang bagaimanapun dipercayai melencong sebelum hilang kawalan dan terhempas.
Sehingga pukul 10.30 malam tadi, pihak polis telah selesai menemui 10 mayat mangsa serta lima bungkusan cebisan badan milik mangsa.
Kesemua mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Remy Ishak, Harian Metro