Tahniah diucapkan buat pasangan selebriti, Adam Lee dan Sweet Qismina yang telah pun selamat mengikat tali pertunangan hari ini.
Majlis berlangsung di sebuah rumah persendirian di Ampang dengan dihadiri 20 tetamu yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga kedua belah pihak dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), petang tadi.
Bertemakan putih dan songket, majlis pertunangan menjadi lebih bermakna apabila Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi turut menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24.
Malah keduanya berkongsi momen indah itu di Instagram.
“Ini bukan babak penggambaran drama, tapi memang kami betul betul bertunang,” jelasnya.
Pada majlis berkenaan, Sweet menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Adam.
Pasangan drama bersiri, Bidadari Salju itu mendedahkan, majlis berkenaan sudah dirancang lama.
“Kebetulan ia terjadi ketika perang kempen Anugerah Bintang Popular BH 34 (ABPBH 34) sedang berlangsung. Ia jauh sekali gimik, tapi sebenarnya rezeki. Lagipun peminat kami sudah lama menanti ada ikatan terjalin.
“Begitu juga peminat dari Indonesia yang bertalu talu tanya ‘kapan’ (bila) mahu ada ikatan sah. Jadi ini sebagai mukadimah sebelum kami melangkah ke fasa seterusnya,” katanya.
Sweet menambah, mereka mengikat tali pertunangan selama setahun.
“Perancangan atau keputusan nak kahwin bila belum ada lagi. Kita selesaikan yang ini (bertunang) dulu. Lagipun, sektor kreatif sudah kembali aktif selepas kerajaan melonggarkan SOP. Jadi ini juga masa untuk kami bekerja semula,” katanya.
Terdahulu, hubungan mereka mulai menjadi perhatian peminat selepas Sweet mempelawa Adam menemaninya ke ABPBH 31 lalu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Secara kebetulan, mereka baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama, Adam Chempaka sebelum itu.