Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle menepis dakwaan single terbaharu yang dilancarkan beberapa hari lalu berjudul Bersama Dengan Rindu itu ditujukan untuk bekas suaminya, aktor dan pengarah Farid Kamil.
Menurut Diana, 32, naskhah berkenaan sudah lama dirakam dan ia adalah salah satu lagu yang ada dalam senarai single yang bakal dilancarkan pada masa akan datang.
“Tidak, bukan cara saya untuk guna hal peribadi untuk hal seperti ini. Lagu tersebut dirakam pada awal tahun lepas. Namun, disebabkan beberapa hal, ia dilancarkan pada tahun ini kerana sudah lama disimpan.
“Klip video untuk lagu berkenaan juga disiapkan pada Januari tahun ini. Jadi, dia tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku sekarang.
“Saya bakal muncul dengan lagu-lagu lain pada masa akan datang. Saya bukan mahu ambil kesempatan, tetapi saya kena teruskan kerjaya,” katanya.
Diana pada masa sama turut menjelaskan mengenai hubungannya dengan bekas suaminya selepas ini.
“Saya sekarang dalam idah dan saya perlu fokus. Saya masih ada tanggungjawab untuk jaga anak-anak, begitu juga dengan ayah mereka. Kami sama-sama akan cari momentum yang baharu.
“Soal hubungan saya dengan Farid selepas ini, kami akan selesaikan. Macam mana hubungan kita, macam mana kita nak hadapi bab yang baharu. Saya nak yang baik-baik sahaja,” katanya lagi.
Diana berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor selepas diceraikan talak satu oleh Farid, pada Khamis.
Dalam pada itu, pelakon filem Imaginur ini juga mengulas usia perkahwinannya bersama Farid yang hanya bertahan selama 11 tahun memberi banyak makna dalam kehidupan.
“Saya bersyukur, sebab banyak benda baik-baik yang saya belajar. Saya belajar untuk jadi matang, menjadi seorang ibu dan juga seorang isteri. Banyak sangat pelajaran.
“Tak semestinya pengakhiran saya ambil negatif sahaja. Saya ambil positif. Saya doakan kami dapat mulakan hidup baharu yang lebih baik selepas ini,” katanya lagi.
Diana bercerai talak satu Farid kira-kira pukul 3.22 petang semalam. Lafaz cerai dilafazkan Farid di hadapan Hakim Syarie Syukran Yusof, menerusi Google Meet memandangkan pelakon filem Anwar itu tidak menghadirkan diri ke mahkamah akibat jangkitan COVID-19.
Kontroversi rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.
Menerusi laporan media, alasan Diana mahu bercerai disebabkan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini