Penyanyi yang juga bintang Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Fuad Rahmad mendedahkan dia kini menyewa kediaman di Damansara, Selangor sebagai persediaan untuk meneruskan komitmen seninya di negara ini.
Menurut Fuad atau Mohamed Fuad Abdul Rahman, 43, keputusannya untuk berpindah dibuat bagi memudahkan perjalanan kerjaya nyanyian yang lebih besar potensinya di Malaysia.
“Saya baru pindah bulan lepas di Damansara. Alhamdulillah bila sudah ada kediaman di sini, tak perlu nak rasa risau lagi. Bukan kata nak meninggalkan Singapura, tapi saya mencari peluang yang lebih besar di negara ini, InsyaAllah.
“Saya ambil apa yang dinasihatkan Tok Ram, berkenalan dengan mereka yang arif mengenai muzik yang saya bawakan di sini. Seterusnya buat apa yang patut.
“Kalau boleh saya tidak mahu melepaskan peluang. Memang bila habis saja GV9, saya sudah merancang untuk kembangkan kerjaya seni di Malaysia.
“Isteri okay dan dia seorang pekerja kerajaan di Singapura. Kami pun ada buat perancangan masa depan. Sebab itulah saya sediakan rumah di sini,” katanya kepada MH.
Ditanya mengenai kelangsungan hidupnya di Singapura sebelum menyertai GV, Fuad yang turut mempunyai dua cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu bersyukur atas rezeki.
Bagaimanapun atas kerana minat mendalam terhadap nyanyian, Fuad optimis untuk mahu kembali di persada seni.
“Di singapura saya menjadi duta dan terlibat dalam bidang pemasaran sebuah syarikat automobil. Alhamdulillah untuk rezeki ketika di Singapura, saya bersyukur.
“Cuma selepas ini memang besar impian untuk kembangkan bakat nyanyian pula. Doakan semoga semuanya dipermudah,” katanya lagi.
Terdahulu dalam saingan GV9 lalu, Fuad gagal lolos ke peringkat akhir program realiti berkenaan selepas diumumkan sebagai bintang yang tersingkir pada minggu ke sepuluh.
Artikel Berkaitan;
“Kena Hati-Hati, Tak Perlu Banyak Improvise & Banyak ‘Out Of Tune’,” – Komen Hetty Pada Dina, Fuad
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.