Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan, 51, mendedahkan dirinya pernah hidup susah dan tinggal di kawasan flat sebelum mengecapi kemewahan seperti hari ini.
Rozita yang mesra disapa Che Ta berkata, dia juga bukan dilahirkan sebagai anak orang berada.
“Saya dilahirkan bukan daripada anak orang senang. Ketika arwah bapa meninggal dunia, saya baru berusia 15 tahun dan emak pula seorang suri rumah serta tidak pernah bekerja seumur hidupnya.
“Emak juga terpaksa buat pelbagai kerja termasuk bekerja di kantin sekolah dan arwah atuk yang menjaga kami adik beradik.
“Dari situ, saya sudah tengok kesusahan emak bekerja keras untuk membesarkan kami tetapi emak tidak pernah minta bantuan orang lain, pun,”katanya.
Namun, Che Ta menambah, kehidupannya sekeluarga mula berubah bila dia bekerja sebagai pramugari dengan gaji mencecah RM5,000 sebulan.
“Ketika bekerja sebagai pramugari, saya juga berkahwin dengan juruterbang pada usia 20 tahun tetapi bercerai pada usia 30 tahun.
“Selepas bercerai, saya tiada pekerjaan serta turun naik mahkamah ketika itu. Mujur, saya ada duit simpanan dan bila sudah menang kes baru saya dapat duit untuk bayar peguam,” katanya jujur.
Kemudian barulah Che Ta kembali dalam bidang modelling dan menceburi dunia lakonan demi mencari rezeki.
Tambah Che Ta lagi, dia percaya lelaki akan lebih menghormati jika wanita ada pendapatan mereka sendiri.
“Saya juga berlakon pada usia yang agak
lewat tapi tidak terlalu lewat untuk kita mulakan sesuatu kerana yang penting ada kemahuan.
“Tapi, sampai bila saya nak berlakon sebab itu sata buat pelbagai bisnes. Kalau anda suri rumah pun masih boleh buat bisnes dan menjana pendapatan, ” katanya.
Che Ta berkongsi perkara itu pada sesi talkshow Kemandirian Wanita bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, baru-baru ini.
Acara itu menyaksikan Ketua Penjenamaan dan Editorial Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin selaku moderator dalam program yang berlangsung di pusat beli-belah, My Town Kuala Lumpur.
Terdahulu, majlis pelancaran kempen Fiesta Perkeso Membawa Senyuman disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.
Sementara itu, Mohammed Azman berkata, tunggak sesebuah keluarga adalah golongan wanita, ibu dan suri rumah yang tidak bergaji.
Menurutnya, sebelum ini suri rumah juga tidak ada sebarang perlindungan jika berlaku kemalangan sewaktu menjalankan tanggungjawab mereka.
“Sebab itu Perkeso memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk melindungi golongan wanita dan suri rumah bawah 55 tahun jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit dengan pelbagai faedah termasuk kematian.
“Kita adalah negara keempat di dunia yang perkenalkan skim sebegini.
“Dengan caruman yang begitu rendah untuk mereka terlindung jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit serta mendapat pelbagai faedah kematian, pencen bulanan dan dialisis,” katanya.
Sementara itu, acara turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 10 artis yang turut menjadi pempamer selama tiga hari program PERKESO Membawa Senyuman.
Antaranya Tyzo Xander, Izue Islam, Ako Mustapha, Anne Abdullah, Darling Ngasri, Syanie, Ani Maiyuni, Haleeda, Ayu Damit dan Azza Elite.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini