Dua tahun tidak dapat beraya seperti kebiasaan sebenarnya memberikan pengalaman baharu buat penyanyi senior, A Romzi. Jika selama ini lebaran yang dirai meriah, namun sudah dua kali ia sepi tanpa sebarang sambutan seperti kelaziman.
Menurut A Romzi, dia masih lagi terkenangkan pengalaman yang dilalui apabila perintah kawalan diperketatkan dan kebanyakan umat Islam tidak dapat kunjung mengunjung seperti kebiasaan.
“Kami terpaksa membataskan pergerakan akibat takut dijangkiti (Covid-19) dan sebagainya. Semua orang perlu berjaga-jaga memandangkan suasana tersebut tidak pernah dilalui oleh kebanyakan orang.
“Tapi Alhamdulillah, semuanya sudah kembali asal dan kebanyakan negara pun sudah mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik. Sudah tentu lebaran kali ini lebih bermakna,” katanya.
Mengembangkan kerjaya seninya di Singapura sejak dahulu, penyanyi era pop yeh-yeh ini gembira apabila dapat kembali bersatu dengan keluarga selain mahu kunjung mengunjung seperti kebiasaan.
Lebih mengujakan, dia turut merakamkan semula lagu raya bagi menyemarakkan lagi sambutan Syawal menerusi Musafir Di Aidilfitri. Lagu yang termuat di dalam album Raya #KembaliBersama ini turut disertai beberapa penyanyi baharu dan lama Singapura.
Menerusi album ini, sembilan buah lagu termuat termasuklah empat daripadanya merupakan lagu lama yang mendapat sentuhan Sha’aban Yahya sebagai penerbit album.
Antara penyanyi yang terlibat terdiri daripada Daniel Baharin & Zalelo menerusi lagu Hari Raya; Effie Ismail & Farisha Ishak (Kemenangan Hari Raya) dan Mahani Mohd (Pesanan Lebaran).
Turut terlibat Ulan & 7RiiiQa (dk Sendu Aidilfitri); Arif Samsudin (Raya Merubah); Syaz Smooth & Putri Emily (Syukur Raya); Ahmad Stokin (Hari Raya Bukan Lebaran) dan Musafir Di Aidilfitri (A Romzi).
Bagi Mahani pula, dia gembira apabila dapat menyumbang suara untuk album raya kali ini setelah melalui pelbagai pengalaman akibat pandemik yang melanda.
Jelasnya, sebagai penyanyi yang berpengalaman dia gembira dapat berpadu dengan golongan muda bagi menghasilkan sebuah album yang akan dikenang sampai bila-bila.
“Saya gembira dapat terlibat sama dalam pembikinan album ini bersama barisan artis hebat yang lain. Kalau lagu ini diterima, ia pasti memberikan keterujaan buat saya.
“Harapnya peminat masih sudi mendengar dan terus menyokong kami,” kata penyanyi popular era 80-an ini lagi.
Bagi Syaz pula, dia gembira apabila dapat terlibat sama dalam album ini terutama apabila bekerjasama dengan Sha’aban yang merupakan antara individu yang dihormati di sana.
“Apabila melalui proses rakaman dengan orang yang berpengalaman sebenarnya memberikan pengalaman baharu buat saya. Bukan mudah mahu dapat peluang sebegini.
“Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar dan saya tak sabar nak menantikan maklum balas daripada pendengar pula.
Hal yang sama diluahkan Danial yang menganggap ini merupakan penghormatan buat dirinya apabila diberikan peluang terlibat sama dalam album Raya #KembaliBersama.
Jelasnya, sikap positif yang ditunjukkan oleh semua pihak semasa proses rakaman berlangsung membuatkan dia gembira dan dapat menimba ilmu baharu dalam bidang ramakan suara.
“Banyak ilmu baharu dicurahkan oleh Sha’aban terutamanya cara untuk mengelakkan tekanan semasa proses rakaman dan sebagainya,” kata Danial lagi.
Bagi Putri Emily pula, dia bertuah kerana dapat merakamkan lagu baharu bersama Shaz yang juga merupakan rakan seangkatan dengannya.
Melodi yang sedap dengar ditambah dengan irama yang moden membuatkan dia jatuh hati dengan lagu Syukur Raya yang juga merupakan lagu duet bersama Syaz.
“Apa yang paling menarik sudah tentu dapat merakamkan suara di studio Yama Jive, antara studio terbaik yang ada di Singapura. Ini pengalaman berharga,” katanya.
Sebagai info, album Raya #KembaliBersama diterbitian Yama Jive Production dan kini boleh didengar disemua platform digital.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.