Pelakon Zahirah MacWilson tidak menolak kemungkinan tarikh 20 Februari 2020 sebagai tarikh pernikahannya dengan tunang, Aiman Hakim Ridza, sebagaimana yang dikongsikan menerusi Instagram baru-baru ini.
Bintang utama Curi-Curi Cinta ini masih berteka-teki meski ada yang membuat spekulasi keduanya bakal disatukan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Ditanya mengenai perkara tersebut, Zahirah, 25, bagaimanapun mengakui fasa berkahwin merupakan satu momen bermakna bagi dirinya.
“Satu momen yang besar untuk ssya. Tunggu sahaja pada hari kejadian, tunggu dan lihat, (20 Februari 2020).
“Saya bukan nak berahsia, tapi biarlah ia menjadi kejutan,” jelasnya kepada MH.
Mengakui majlis nikah akan dilangsungkan di dalam negara, Zahirah turut enggan berkongsi lanjut mengenai persiapan perkahwinannya.
Sementara ketika mengulas mengenai spekulasi ‘saham’ akan jatuh andai seseorang selebriti itu sudah berumah tangga, Zahirah mempunyai jawapannya sendiri.
“Kalau orang nak mengatakan mengenai saham akan jatuh, orang akan bercakap. Tapi pada akhirnya, ia bergantung kepada rezeki.
“Ia (perkahwinan) perjalanan dan cabaran untuk saya tempuhi. Malah untuk majlis nanti, saya tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran.
“Ia lebih kepada majlis untuk meraikan kedua belah keluarga, rakan keluarga dan teman media,” ujar Zahirah yang turut merakamkan ucapakan terima kasih buat semua peminat yang mendoakan.
Terdahulu, Zahirah ditemui pada majlis Pelancaran Filem Bulan & Pria Terhebat yang bakal ditayangkan pada 12 Mac depan.
Selain Zahirah, turut sama terlibat di dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar itu ialah Zizan Razak, Maya Karin, Khir Rahman, Alif Hadi dan ramai lagi.
Pasangan selebriti terbabit sebelum ini menjadi perhatian ramai apabila masing-masing berkongsi foto yang dipercayai gambar pra-perkahwinan mereka berserta tanda pagar yang tertera nama gabungan serta tarikh penting iaitu 20 Februari 2020.
Pasangan itu juga pernah mengadakan sidang media mengumumkan mereka bakal bernikah pada Februari tahun ini. Namun, tarikh sebenar masih belum didedahkan.
Pasangan sama cantik sama padan ini bertunang pada Jun 2019.