“Bukan Passion Saya Tapi…,” – Datuk Afdlin Shauki Jual Daun Sup & Kobis Cina

Share

Pengarah dan pelawak popular, Datuk Afdlin Shauki mengakui dirinya juga merupakan antara selebriti yang turut terkesan ketika fasa pandemik Covid-19 ini.

Memurut Afdlin, sepanjang tempoh pandemik ini, dia jarang mendapat tawaran pekerjaan samaada daripada segi pengarahan mahupun persembahan-persembahan luar.

“Tidak dinafikan saya memang agak terkesan sepanjang tempoh pandemik ini. Kalau saya cakap saya tak struggle, itu maknanya saya tipu.

“Bayangkan dalam masa dua tahun lebih, kita tak dapat nak buat apa-apa dan tak boleh kerja. Saya ni bukan pengarah je. Saya juga berlakon, buat stand up comedy dan menyanyi. Itu semua saya tak boleh buat.

“Kalau dulu tiada job berlakon, saya boleh buat kerja-kerja lain tapi tidak pada fasa pandemik ini,” katanya kepada MH.

Lantaran itu, pengarah filem Papadom ini memaklumkan dia telah mengambil inisiatif untuk memulakan bisnes bercucuk tanam dengan kerjasama pihak Kementerian Peretanian dan Industri Asas Tani

“Jadi, saya putuskan untuk berkebun. Saya membuka kebun sayur-sayuran saya sendiri di Sendayan, Negeri Sembilan. Ia merupakan sebuah projek pertanian dengan usahasama pihak kementerian.

“Mereka membuka beberapa buah greenhouse dan kami yang usahakan. Segalanya bermula sewaktu fasa PKP yang pertama dahulu.

“Sekarang ini fokusnya pada daun sup. Sebelum ini kami usahakan kobis cina. Keluasan greenhouse saya tidaklah terlalu besar. Saya bekerjasama dengan beberapa orang lain juga.

“Saya dah pun merasai hasilnya. Hasil tanaman ini kami hantar kepada pengeluar seperti di pasar borong dan FAMA,” kongsinya lagi.

Afdlin berkata sedemikian dalam satu temuramahnya bersama MH baru-baru ini.

Ketika ditanya adakah dia gembira dengan bisnes yang dijalankannya itu, Afdlin memberi tahu, ia merupakan peluang yang tidak patut dilepaskan.

“Saya buat semua ini kerana kita ini merupakan problem solver. Orang-orang filem ini selalu cari jalan untuk menyelesaikan masalah.

“Meski bercucuk tanam ni bukan passion saya, tapi bila tengok situasi pada ketika itu, walaupun pandemik, orang tetap mencari bahan makanan. Bermula dari situ saya mulakan bisnes ini,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Afdlin memaklumkan dia sedang sibuk menyiapkan filem terbarunya yang berjudul, Baik Punya Ahlong.

Filem yang memiliki bajet yang agak besar ini menampilkan pelawak popular negara Zizan Razak dan Johan sebagai pelakon utama.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf