Pelakon Syafiq Kyle menyambut baik doa para peminat dan orang sekeliling yang mahu melihat dia kembali bersama bekas tunangnya yang juga merupakan aktres, Mimi Lana.
Menurut Syafiq, buat masa sekarang, dia tidak boleh memberikan kata putus dan hanya reda dengan takdir yang telah ditentukan Illahi.
“Bila ada pengharapan di dalam hati itu, adalah lebih baik kita sulamkan dengan doa. Sejak pulang daripada Tanah Suci, saya kerap mendoakan yang terbaik.
“Namun, untuk berikan kata putus, saya bukanlah orangnya. Apapun yang sudah berlaku, semua pihak sudah melihat. Jadi, jika ada yang nak menilai kami, terpulanglah.
“Itu sahaja yang boleh saya cakapkan sekarang,” katanya yang baru sahaja pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah pada hujung Ramadan lalu.
Syafiq berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Sheriff yang berlangsung di di GSC, Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, bekas naib juara Hero Remaja 2012 ini mendedahkan hubungannya bersama Mimi masih lagi baik dan akan bekerjasama untuk sebuah projek filem selepas ini.
“Alhamdulillah, kami masih berbaik dan berkawan. Saya pun tak berani nak berkata lebih.
“Selepas ini, kami akan bekerjasama dalam satu lagi projek filem iaitu The Expert,” ujarnya lagi.
Tambah Syafiq lagi, dia juga tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya saat berjuang mengejar lailatul qadar dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Mekah.
Lantas, dia juga mengambil kesempatan itu untuk menitipkan doa buat kelaurganya dan Mimi.
“Ketika di Mekah, saya banyak memanjatkan doa buat keluarga dan orang sekeliling. Mimi juga termasuk dalam salah satu doa saya.
“Saya hanya boleh aminkan sahaja doa orang ramai buat kami. Teruskan kirim doa yang baik-baik.
“Kalau sayalah yang pegang ‘butang makbul’ itu, saya akan suruh orang berhenti berdoa. Saya akan makbulkan terus doa itu tapi bukan saya yang pegang butang itu,” katanya lagi.
Pada masa sama, Syafiq turut memaklumkan dirinya kini sedang berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
“Saya hanya manusia biasa dan belum terlalu matang sangat. Saya pun tak pandai nak bercakap panjang dalam hal ini.
“Saya hanya boleh reda terima apa sahaja yang berlaku. Saya harap agar semua orang dapat mendoakan yang terbaik buat saya,” akhirinya.
Terdahulu, Syafiq akui teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan pelakon terkenal Aaron Aziz dan Zul Ariffin di dalam filem Sheriff.
Katanya lagi, filem ini nyata memberikan cabaran baharu buat dirinya untuk mengambangkan bakatnya sebagai pelakon.
Terdahulu, filem Sheriff bakal mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 April ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.