“Bukan Semua Kena Minta Bayaran, Konon ‘Air Liur’ Mahal,” – Kena Pandai Bawa Diri, Norreen Iman Nasihat Para Influencer Jangan Bongkak & Takbur

Share

Pelakon dan selebriti media sosial, Norreen Iman percaya antara sebab namanya sering menjadi pilihan pengarah adalah kerana sifatnya yang tahu membawa diri ketika bekerja.

Menurut Norreen, meskipun kelakuannya agak berbeza ketika di media sosial, namun, dia juga faham ada kalanya dia harus menyesuaikan diri dengan keadaan.

“Kerjaya saya bermula sebagai seorang influencer. Saya selesa menjadi diri saya sendiri. Di sosial media memang nampak saya ini macam agak kasar tapi bila bekerja di dalam bidang ini, kita kena tahu bawa diri dan bezakan keadaan.

“Tak salah nak buat konten-konten viral untuk dikenali ramai tetapi anda perlu tahu untuk sesuaikan diri dengan keadaan. Mungkin itu yang membuatkan saya mendapat tempat di dalam industri ini,” katanya kepada MH.

Norreen berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Cina Buta baru-baru ini.

Pada masa sama, Norreen turut menyeru kepada para selebriti media sosial untuk tidak merasakan diri mereka terlalu hebat sehingga sukar untuk didekati dan berkerjasama

“Macam inilah, kepada influencer-influencer di luar sana, jangan sombong boleh tak? Jangan bongkak dan takbur. Nama anda baru sahaja nak dikenali. Tuhan kalau nak tunjuk sekejap sahaja.

“Seperti saya pula, saya tak janggal untuk berhadapan dengan pihak media kerana saya tak pernah nak bersifat meninggi diri atau susah didekati hanya kerana saya seorang influencer.

“Bila bertemu dengan pihak media, kita kena pandai untuk beri kerjasama. Bukan semua situasi kita kena anggap macam kerja yang harus dibayar kerana anggap air liur kita mahal.

“Jangan kekwat dan sedar diri. Sila berpijak di bumi yang nyata,” ujarnya lagi.

Bercakap mengenai lakonannya di dalam drama Cina Buta, Norreen mendedahkan dia sendiri telah menghantar mesej peribadi kepada pengarah, Shahrulezad Mohameddin untuk berlakon dibawah arahannya satu ketika dahulu.

Lantaran itu, dia tidak menyangka impiannya itu akan menjadi kenyataan.

“Dulu saya selalu tonton drama arahan Abang Shahrulezad. Kemudian, ada satu ketika saya putuskan untuk buat muka tebal dan hantar dm di Instagram mengatakan saya teringin nak berlakon dengan beliau.

“Rezeki saya datang di drama Cina Buta ini. Mulanya saya tak tahu drama apa asalkan berlakon dengan Shahrulezad. Bila hari pertama di set, lutut saya terketar-ketar kerana terlalu nervous.

“Saya selalu tengok Ungku Ismail, Nad Zainal dan Azhan Rani ni di tv sahaja. Filem ini agak berat juga bagi saya kerana pengarah mahukan saya dan Anas untuk mewarnai drama ini dengan komedi,” akhirinya.

Terdahulu, Cina Buta mengisahkan tentang pasangan suami isteri, Sharnaaz dan Mia Sara yang mempunyai ego tinggi dan sering bergaduh sehingga mereka bercerai buat kali yang ketiga.

Selain Norreen, drama ini turut membariskan ramai pelakon-pelakon hebat antaranya Nad Zainal, Ungku Ismail, Aliff Aziz, Puteri Aishah dan ramai lagi.

Cina Buta bakal menemui penonton bermula 9 November ini pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, di slot Mega Drama Astro Ria (104) atau Astro Go.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf