“Bukan Senang-Senang Je Nak Buat Keputusan,” – ‘Korban’ Kerjaya Solo, Fitri Haris Dedah Sebab Kembali Sertai UNIC

Share

Penyanyi, Fitri Haris mendedahkan dia mempunyai sebab yang tersendiri mengapa mengambil masa terlalu lama untuk bergabung semula bersama kumpulan nasyid popular UNIC.

Menurut Fitri, meskipun pernah terlibat dengan projek-projek khas bersama UNIC sebelum ini, namun, dia merasakan masanya belum sesuai kerana dia masih lagi sibuk dengan komitmen peribadi.

“Semasa konsert pertama REUNIC, suasananya memang sangat havoc. Saya pun balik daripada UK semata-mata nak join konsert tersebut. Saya rasa itulah momen yang paling indah bersama UNIC.

“Saya tak sertai semula UNIC pada waktu itu kerana saya pun masih belajar. Malah, ketika itu, masih belum ada sebarang perbincangan mengenai kemasukkan saya semula.

“Saya faham keinginan peminat ini, mereka nak sangat kami bersama semula sebab mereka sukakan momen lama. Mereka sukakan bila UNIC ada suara saya. Suara saya ni pun sejak dulu lagi selalu dijual lebih-lebih lagi bila part chorus. Mereka seperti dah terikat dengan saya,” tulisnya.

Pendedahan tersebut dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu Demi Cinta Suci itu menerusi sebuah video yang dikongsikan di laman Instagram.

Katanya lagi, keputusan untuk kembali bersama kumpulan UNIC bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibuat memandangkan dia juga harus mengorbankan perjalanan kerjaya solonya.

“Walau bagaimanapun, bila saya putuskan untuk kembali semua bersama UNIC pada tahun 2022 ini, mungkin ada beberapa perkara yang orang ramai terlepas pandang.

“Saya telah pun korbankan penjenamaan Fitri Haris itu sendiri sebagai penyanyi solo yang telah dibina sejak 12 tahun yang lalu.

“Nama saya dah dikenali disebabkan lagu Suara Azan, menang Gema Gegar Vaganza dan beberapa anugerah lain. Saya korbankan semua itu untuk kembali semula dengan UNIC.

“Bukan senang-senang je saya nak buat keputusan. Sudah tentu saya dah buat pertimbangan daripada setiap sudut,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Fitri turut menyifatkan keputusan ini juga dibuat atas dasar persahabatan dan turut merasakan kehidupannya juga kini sudah stabil.

“Pada usia sekarang ini, apa yang saya nak, semuanya dah ada,

“Jadi, apa lagi yang saya mahu? Saya nak enjoy the moment. Saya buat keputusan ini atas dasar persahabatan. Walaupun saya boleh tapau sorang je duit show, saya pilih untuk berkongsi bertiga.

“Saya tak risau lagi sebab sumber pendapatan utama itu dah ada. Sekarang hanya nak enjoy the momen sahaja,” akhirinya.

Pada Julai lalu, Fitri mengumumkan dirinya kembali menyertai kumpulan nasyid, UNIC di sisi teman seperjuangannya, Bazli dan Fakhrul.

Dalam perkembangan lain, UNIC bakal mengadakan konsert reunion yang turut akan mengumpulkan kesemua ahli baru dan lama kumpulan nasyid popular itu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Fitri Haris & UNIC

Published by
Aizam Manaf