Pelakon dan pengacara, Lisa Surihani tidak memperlahankan kariernya sebagai seorang anak seni sejurus mendirikan rumah tangga beberapa tahun lalu.
Tanpa sengaja, menurut Lisa, dia hanya mahu mengimbangkan tanggungjawabnya sebagai seorang anak seni dan pada masa sama dapat menjalankan peranannya sebagai ibu dengan baik.
“Kalau sengaja perlahankan itu mungkin tidak. Saya cuma mahu imbangkan sahaja.
“Saya merupakan seorang ibu pada masa sama saya juga miliki kerjaya dalam bidang seni dan kalau boleh saya mahu buat kedua-duanya sebaik mungkin.
“Nak kata go with the flow pun tidak juga, saya hanya cuba imbangkan. Misalnya kalau ada jurang lama saya tidak menonjolkan diri ianya hanya kebetulan.
“Ada banyak faktor yang mungkin mempengaruhi keadaan tersebut. Kita terima sesuatu job itu bukan hanya satu sebab sahaja. Sebenarnya ada banyak faktor lain lagi selain daripada sudah tentunya rezeki,” katanya kepada MH.
Ditanya sama ada dia meletakkan syarat sewaktu memilih naskhah seni, bintang drama, Pelindung Seorang Puteri itu menjelaskan dia lebih selesa untuk berbincang atas budi bicara.
“Saya tidaklah terlampau meletakkan syarat sangat. Biasanya saya akan tanya bolehkah saya berkerja 12 jam sahaja.
“Saya akan tanya dengan budi bicara dan cara yang baik sama ada boleh atau tidak.
“Saya faham ada pelakon-pelakon lain yang okay untuk berkerja lebih daripada 12 jam.
“Saya cuba letakkan syarat sebegitu supaya saya ada waktu yang balance dimana saya boleh berkerja pada masa sama saya boleh menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri,” jelasnya lagi.
Lisa berkata demikian sewaktu ditemui media pada majlis sidang media tayangan perdana kandungan Astro sempena Hari Kemerdekaan ke-63 yang berlansung di TPC, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam soal lakonan pula, Lisa menyifatkan ada beberapa faktor yang harus dia pertimbangkan terlebih dahulu sebelum membawakan sesuatu watak itu
“Ia bergantung kepada keadaan, contohnya ada babak pegang tangan kalau boleh saya cuba elakkan.
“Saya akan cuba cara lain yang memberikan mesej dan impak yang sama dan sampai seperti apa yang dimahukan pengarah.
“Segalanya bergantung kepada budi bicara saya tidak akan tolak secara terus sebaliknya kita bincang mengenai solusi yang lain,” jawabnya.
Sempena bulan kemerdekaan, Lisa bakal tampil menerusi drama Aku Posmen, Kau Latifah, Dia Joseph yang bakal disiarkan pada 30 Ogos ini menerusi saluran Astro Ria (123) dan Ria HD (104).