Pelakon Eyka Farhana lebih senang untuk tidak mengulaskan lanjut berhubung sebuah video di akaun Tik Tok miliknya yang kini menjadi buah mulut ramai.
Video tersebut memaparkan Eyka sedang meniru semula trend video yang kini sedang ‘trending’ di platform berkenaan.
Malah, turut kelihatan seorang individu yang meletakkan tangannya di bahu Eyka sekaligus mencetuskan spekulasi pelbagai.
Ada netizen mendakwa tangan individu itu milik pemain bola sepak Johor Darul Takzim, Akhyar Rashid yang sebelum ini sering dikaitkan dengan Eyka.
Menurut pelakon filem Polis Evo ini, orang luar bebas untuk membuat sebarang andaian dan tiada keperluan baginya untuk memberikan sebarang kenyataan balas.
“Saya pun sebenarnya tak tahu nak komen apa berkaitan video tersebut. Lagipun, memang dah ramai yang memberikan komen di video berkenaan. Kalau mereka rasa individu tersebut adalah orang yang mereka fikirkan, terpulang kepada mereka.
“Sejak kebelakangan ini, saya pun jarang nak ceritakan sangat soal peribadi sebab selama ini pun saya memilih untuk berdiam diri. Rasanya lebih baik saya teruskan begitu agar tidak terus dikecam oleh orang di luar sana.
“Saya biarkan sahaja netizen membuat andaian sendiri tanpa saya mengiayakan atau menafikan. Kalau saya cakap tentang perkara yang betul pun, saya akan kena. Kalau salah pun, begitu juga,” katanya kepada MH.
Ketika ditanya bagaimana di sering kelihatan tenang meskipun selalu dihimpit isu-isu kontorversi, Eyka memberitahu, pengalaman bergelar anak seni sejak usia 18 tahun sedikit sebanyak mematangkan dirinya.
“Mungkin saya dah terbiasa dengan komen-komen netizen tak kira sama ada baik atau buruk. Sebagai contoh, sebelum ini cara pemakaian saya sering dikritik, mungkin lama kelamaan netizen akan terima diri saya seadanya.
“Komen yang negatif saya akan terima untuk perbaiki diri manakala yang positif saya ambil sebagai semangat untuk meneruskan kehidupan.
“Ada satu tahap, saya rasa kehidupan saya seperti tersekat. Kadang-kadang saya teringin nak buat video konten yang seronok-seronok seperti orang lain, tapi ada perasaan yang menghalang.
“Namun, bila difikirkan balik, saya rasa lebih elok kalau saya hanya jadi diri saya sendiri,” kongsinya lagi.
Pelakon berusia 27 tahun itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdama drama siri One Cent Thief baru-baru ini.
Katanya lagi, dia juga memilih untuk tidak membaca komen-komen negatif demi kesihatan mentalnya.
“Tipulah kalau saya kata tak terkesan dengan cakap-cakap netizen ini. Dulu mungkin lebih teruk sebab saya selalu baca komen. Sekarang ini, saya jadi lebih positif sebab saya tak baca komen-komen tersebut.
“Kalau saya baca, ia tak baik untuk kesihatan mental saya. Ada kalanya saya akan tutup terus ruangan komen. Walaupun ada pihak yang menyampai kepada saya, saya tak kisah sebab dah terbiasa.
“Kadang-kadang saya akui, ada betulnya juga apa kata netizen ini. Kalau orang bercakap dengan cara yang baik, kita pun akan layan dengan baik. Mungkin dengan teguran tersebut saya boleh elak daripada buat perkara-perkara yang mereka tak suka,” ujarnya lagi.
Eyka dan Akhyar sering kali dikaitkan bersama dan dikatakan mempunyai hubungan istimewa
Kedua-dua mereka juga sudah acap kali dilihat keluar dan meraikan momen-momen istimewa bersama.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram & Tik Tok Eyka Farhana