Kuala Lumpur Fashion Week 2021 baru sahaja melabuhkan tirainya semalam. Acara tahunan yang diadakan sekian lama ini akhirnya kembali memeriahkan dunia fesyen tempatan selepas tahun lalu acara tersebut hanya dilakukan secara maya disebabkan pandemik Covid-19.
Setiap kali minggu fesyen berlangsung, bukan hanya koleksi yang dipersembahkan oleh para pereka fesyen menjadi perhatian. Kelibat selebriti yang memeriahkan suasana turut mencuri perhatian. Penampilan mereka yang pastinya on-point dalam rekaan busana jenama tempatan menarik pandang lensa kamera dan juga mata yang memerhati.
Media Hiburan mengintai stail 10 selebriti yang anggun dalam pilihan busana masing-masing.
FAZURA
Sejak berhijab, aura selebriti serba boleh ini makin menyerlah. Dalam gambar ini dia menggayakan busana jenama Behati rekaan pereka fesyen muda, Kel Wen. Busana two piece
ini sesuai sekali dengan penampilan Fazura sebagai seorang hijabi.EYKA FARHANA
Si cantik manis pelakon drama Pretty Little Liars versi Asia ini tampil berani dalam persalinan rekaan Alia Bastamam. Padanan crop top dan skirt pendek diberi penegasan gaya menerusi gandingan blazer oversized yang mencetus keseimbangan.
NABILA RAZALI
Pelantun lagu Peluang Kedua ini tampil sopan dan bersahaja sesuai dengan persona seorang hijabi. Menggayakan busana Ezuwan Ismail, gaun labuh rona hijau tua dengan kemasan pleated menyerlahkan sisi femininnya.
WANY HASRITA
Wany tampil penuh playful dalam persalinan rekaan jenama Behati. Padanan kemeja oversized labuh bersama seluar jeans memberikan gaya bersahaja dan moden. Manakala pengayaan tudung rona merah jambu terang pula memberi penegasan warna kontras kepada busana rona kuning yang digayakan.
YAYA ZAHIR
Hos dan juga pemilik jenama fesyen Asly ini tampil dalam aura maskulin menerusi busana rekaan Hatta Dolmat. Gaya kemeja yang dipadankan bersama seluar dan kot labuh penuh corak sudah cukup menjeritkan statement
fesyen seorang bintang.DATUK SERI SITI NURHALIZA
Kehadiran penyanyi nombor satu negara ini di minggu fesyen semestinya menjadi perhatian. Siti Nurhaliza dilihat tampil menggayakan busana rekaan Rizman Ruzaini yang diadun menarik dalam gabungan sentuhan maskulin dan feminin. Padanan blazer dan seluar diberi kelainan dengan potongan bukaan skirt labuh di bahagian belakang.
SHALMA AINAA
Shalma tampil playful dan feminine menerusi pilihan gaya oleh jenama terkenal Mimpi Kita. Padanan kemeja dengan rekaan menarik berhiaskan sulaman jemeki dan labuci dipadankan pula dengan skirt potongan tidak simetri mencetus gaya yang tidak rigid.
IZARA AISHAH
Cantik sungguh Izara! Dia kekal dengan pendirian gayanya yang tidak mengikut bentuk tubuh. Ibu kepada seorang cahaya mata ini memadankan busana rekaan Larney bersama outerwear rekaan Alia Bastamam.
DAIYAN TRISHA
Malaysia Fashion Darling. Daiyan dan fesyen tidak dapat dipisahkan, dia sentiasa menjadi pilihan jenama-jenama antarabangsa mahupun tempatan. Untuk minggu fesyen ini, Daiyan menggayakan rekaan jenama Fizi Woo. Rekaan blazer dengan bahu besar dipadankan bersama seluar cukup menyerlahkan moden dan eksklusif. Ditambah pula dengan dandanan rambut yang cukup comel!
UYAINA ARSHAD
Pelakon dan pengacara ini menggayakan busana serba hitam rekaan Rizman Ruzaini. Penampilnnya diserikan dengan pilihan sarung tangan berenda dan juga beg tangan rona hitam bagi melengkapkan gaya keseluruhan.
Sumber gambar: Instagram