Penyanyi terkenal yang juga juri tetap Big Stage 2022, Datuk Seri Siti Nurhaliza terlihat sebak lalu menitiskan air mata sejurus salah seorang peserta, Aisha Retno selesai mengalunkan lagu Kesetian nyanyian asal Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.
Menurut Siti, dia teringatkan rakan artisnya itu yang telah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu akibat Covid-19.
Dia memberikan reaksi itu selepas ditanya hos, Sherry Alhadad sama ada dia ingin mengatakan sesuatu atau sebaliknya.
“Saya teringat pada arwah, itu sahaja,” jawabnya.
Ajai ketika diminta memberikan komen terlebih dulu sedekahkan al-Fatihah dan mendoakan kesejahteraan buat arwah Siti Sarah.
“Kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah… Ya Allah Ya Tuhanku, al-Fatihah ini aku sedekahkan kepada arwah Siti Sarah binti Raissuddin.
“Ampunkan dosanya, jauhkan dari seksa kubur, luaskan dan terangkanlah kuburnya, masukkan dia bersama golongan beriman.
“Sesungguhnya Ya Allah Ya Tuhanku, Kaulah Yang Pengasih Lagi Maha Pengampun. Ameen,” doa Ajai.
Sementara itu, komposer tersebut menyifatkan Aisha membawakan lagu Kesetiaan dengan cara tersendiri.
“Bila awak menyanyikan lagu ini, awak ada stail tersendiri. Cara awak improvisasi ‘lari’ daripada penyanyi asal. Tidak boleh untuk bandingkan dengan cara nyanyian dia (arwah Sarah). Saya rasa tidak ada gantinya.
“Cuma, untuk generasi baru mengapa tidak? Kita perlu ‘move on’. Awak nyanyi sedap, itu sahaja yang boleh saya cakap,” katanya.
Pada konsert minggu ketiga yang bersiaran secara langsung dari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya malam tadi, Lia Aziz diumum sebagai peserta kedua tersingkir.
Lia menyanyikan lagu Kisah Hati yang dipopularkan oleh Datin Alyah meraih markah sebanyak 55 peratus daripada juri dan undian peminat, 5.28 peratus.
Minggu ini, Han Byul sebagai juri undangan di samping Siti dan Ajai di posisi juri tetap manakala Juri Pedas diisi penyanyi Mas Idayu serta usahawan Datuk Seri Vida sebagai Presiden Netizen.
Juara bakal bawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Pemenang tempat keempat, kelima dan keenam masing- masing bakal membawa pulang RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.
10 peserta yang masih bersaing pada minggu seterusnya ialah Tuah Adzmi, Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Megat Rahim, Sofiaa dan Ajoi Zainal.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.