Baru-baru ini, selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa ada menyuarakan rasa kesal apabila pengurusan sekolah anak sulungnya, Muhammad Bilal tidak membenarkan ibu bapa mengakses rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau anak-anak mereka.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Neelofa menjelaskan dia sebenarnya trauma selepas melihat banyak tragedi melibatkan anak kecil di taska yang tular di media sosial.
“Saya tahu perkara tersebut telah mencetuskan perdebatan di media sosial. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Apa yang saya luahkan itu hanyalah perkongsian daripada seorang ibu. Sama seperti ibu-ibu lain di luar sana.
“Walaupun bergelar selebriti, namum, apabila berkait soal keibubapaan, saya juga sama seperti anda semua. Saya hanya mahukan anak saya selamat.
“Sejak akhir-akhir ini, kita sangat trauma selepas melihat banyak video viral mengenai anak kecil di taska.
“Kalau lalu di media sosial, saya tak sanggup nak tengok. Saya minta agar perkara seperti itu dijauhkan daripada kita semua,” katanya kepada MH.
Isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu berkata sedemikian ketika ditemui majlis perlancaran produk Nealofar X Disney yang berlangsung di IOI Putrajaya pada Khamis.
Jelas Neelofa lagi, pihak taksa sepatutnya melihat perkara ini sebagai salah satu daya penarik sekiranya mereka menyediakan kemudahan tersebut
“Apa yang saya suarakan itu, walaupun ada yang boleh terima dan tidak, sepatutnya cctv itu boleh menjadi selling point dari sudut pandang pihak taska.
“Mereka boleh tawarkan kemudahan cctv itu untuk menarik perhatian lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke taska tersebut,” ulasnya lagi.
Pada masa sama, Neelofa turut menafikan dirinya terlalu ‘demanding’ sebaliknya dia merasaka akses terhadap cctv ini sepatutnya dinormalisasikan.
“Saya bukan nak bangkitkan isu ada duit baru boleh ada akses cctv. Tidak. Cctv ini sepatutnya dinormalisasikan. Ia merupakan kemudahan yang sepatutnya ada.
“Namun, tetap harus disertakan dengan terma dan syarat. Tak boleh tengok sesuka hati
“Andai kata ibu bapa punyai akses cctv di taska, ibu bapa tidak akan sewenang-wenangnya menunding jari kepada pihak-pihak taska. Mereka juga tidak akan pening kepala,” katanya lagi.
Sementara itu, Neelofa akui teruja apabila jenama fesyen miliknya dapat sekali lagi berkolaborasi dengan syarikat animasi popular dunia, Disney.
Menurut Neelofa, sejak kecil, dia amat meminati permaisuri-permaisuri di dalam filem-filem animasi Disney dan menyifatkan kolaborasi ini ibarat mimpi jadi kenyataan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.