Cederakan Pekerja Stesen Minyak Dan Halang Polis Jalankan Tugas, Zynakal Didenda RM2,800

Share

Selepas kecoh mengenai seorang lelaki yang didakwa mengasari seorang pekerja stesen minyak baru-baru ini, akhirnya penyanyi dan komposer, Muhammad Raziq Rosli atau nama komersialnya, Zynakal didenda RM2,800, pada Jumaat.

Difahamkan, Zynakal dipercayai telah mencederakan seorang pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas, Rabu lalu.

Memetik Berita Harian Online, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan.

Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, bintang berusia 21 tahun itu dijatuhi hukuman denda sebanyak RM800 sementara bagi pertuduhan menghalang penjawat awam, dia didenda RM2,000 dan tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Sebelum ini berdasarkan kepada kertas pertuduhan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Terbang ini telah didakwa mendatangkan kecederaan terhadap warga Bangladesh, Ahmad Mostak, di Stesen Petronas Pandan Prima, Ampang, di sini, jam 3 petang, 28 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis dengan tidak menunjukkan kad pengenalannya bagi tujuan pemeriksaan, di tempat sama, jam 3.30 petang, pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda yang rendah, dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai penulis lirik dan komposer.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran.

Sumber/Foto: Berita Harian/Instagram Zynakal

Published by
MH