Ketika bertanding di dalam Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar masih lagi seorang pelajar dalam jurusan undang-undang Universiti Malaya.
Usai pertandingan yang mana dirinya bergelar naib juara, gadis tinggi lampai ini meneruskan pengajianselain menceburkan diri dalam dunia lakonan serta bergelar pembaca berita. Kini dia sedang membina kerjaya guamannya sebagai pelatih dalam kamar.
Tidak melupakan kecintaannya kepada dunia seni, kemunculan Adriana dalam dunia sastera merupakan manifestasi visinya untuk mendemokrasikan dan menjadikan puisi sebagai karya yang bersifat lebih inklusif.
“Sebelum ini, puisi lazimnya dianggap sebagai karya yang sukar difahami, bersifat tradisional dan khusus untuk golongan elit intelektual. Persepsi ini menjauhkan golongan pemuisi muda yang baru muncul dan ingin berkongsi karya mereka secara terbuka.
“Diinspirasikan oleh pemuisi-pemuisi kontemporari, saya berhasrat untuk mempopularkan puisi dan membebaskan ia daripada ruang bilik darjah dan golongan elit,” kongsi Adriana.
Buku puisi yang diberi nama Everything In Between ini mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi, dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup.
“Everything In Between adalah projek yang dekat di hati saya dan ia cerminan intim kepada perjalanan hidup saya yang disampaikan menerusi puisi-puisi yang dihasilkan dalam tempoh 12 tahun. Saya berhasrat untuk memotivasikan dan memperkasa orang lain agar terus kental dalam mengharungi cabaran hidup.
“Di samping itu, saya berharap agar buku ini menyalakan semangat dalam kalangan generasi lebih muda dan golongan yang terpinggir untuk menjadikan puisi sebagai platform penzahiran diri, menjuarai isu-isu yang dekat di hati mereka dan menginspirasi perubahan yang bermakna,” kata Adriana lagi.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI