Pelakon, Rozita Che Wan kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuat kenyataan palsu yang memperlihatkan dirinya seakan merendahkan anak-anak orang lain yang tidak dilahirkan dalam keadaan mewah.
Menurut Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, hantaran tersebut sememangnya berniat jahat dan sengaja ingin mengundang kemarahan netizen.
“Orang dakwa saya kata, anak saya adalah T20 tapi anak orang lain B40. Saya tak pernah pun kata macam itu dan labelkan diri saya sedemikian.
“Saya pun tak tahu cerita itu dikeluarkan di portal yang mana, tapi saya rasa portal yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada MH.
Semalam, Che Ta ada memuat naik hantaran di Instagram bertanya mengenai individu atau pihak yang mendakwa dia pernah mengeluarkan kenyataan berbaur riak.
Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Zain Saidin ini lega apabila netizen masa kini sudah bijak menilai kesahihan sesebuah hantaran di media sosial.
“Tapi bila saya muat naik hantaran di Instagram (IG), ramai netizen tahu kenyataan itu bukan dari saya.
“Kita bukan nak cakap besar, tiada beza pun saya dengan orang lain, saya juga terpaksa bekerja bukan duit itu turun dari langit. Bukannnya saya baring dan tidur sahaja.
“Kenyataan tidak benar itu nanti akan mengundang kecaman. Orang akan cakap artis berlagak,” ujarnya lagi.
Che Ta berkata sedemikian ketika ditemui di majlis perasmian Fiesta PERKESO Membawa Senyuman di pusat beli belah My Town, Cheras pada Sabtu.
Katanya lagi, dia juga berkerja keras sama seperti ibu bapa yang lain untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak.
“Seperti hari ini saya baru saja pulang dari Kelantan menghadiri acara, kemudian ke pejabat sekejap ada mesyuarat dan ke sini.
“Jadi saya tidak pernah bezakan saya dengan sesiapa. Demi Allah tak pernah. Kita jadi macam apa yang kita ada hari ini adalah dari sokongan semua orang terutamanya B40.
“Awak ingat T20 nak layan kita misalnya bila kita jual produk? Bila saya keluarkan produk pun saya keluarkan produk yang mampu milik, untuk semua orang rasa diri mereka disayangi dan cantik tanpa belanja yang tidak masuk akal,” katanya.
Che Ta berkata dia juga mudah terusik lebih-lebih lagi bila membabitkan anaknya dan sekaligus menafikan dia memanjakan anaknya seperti yang didakwa.
“Saya muat naik di Instagram supaya orang tahu kenyataan itu bukannya dari saya. Alhamdulillah ramai yang memberikan komen yang positif.
“Orang ramai pun kenal saya sebab saya selalu buat live. Jadi bila kisah itu keluar mereka tahu ia bukan dari saya,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Rozita Che Wan