
Anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida, iaitu Cik B, menjelaskan lelaki misteri yang dikongsikan di dalam hantaran terbaharu di Instagram hanya teman biasa dan bukan kekasih seperti yang disangka ramai.
Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 19, berkata lelaki berkenaan ialah rakan lama, namun dia belum bersedia berkongsi lebih lanjut mengenai identiti individu asal Kelantan itu.
Kawan Baik Saja
“Dia hanyalah kawan baik saja, kena ‘friend-zone’ kiranya. Tak boleh nak dedahkan siapa lagi, tunggu masa yang sesuai. Apa pun, dia bukanlah teman istimewa.
“Kami saling mengenali sejak enam tahun lalu dan sering keluar bersama, nama pun kawan baik.
“Ketika itu saya sedang bersedih. Saya mintanya untuk belikan saya bunga, dia pun beli dan kami keluar makan. Bagi saya, dia seorang kawan yang bagus,” katanya.
Penyanyi lagu Kami Budak Gen Z itu berkata demikian selepas menerima Anugerah Wanita Muda sempena The Muslim World Women’s Summit: Voices of H.E.R Festival dan Anugerah Ibu Zain 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam tadi.
Sebelum ini, hantaran tersebut mencuri perhatian netizen apabila Cik B dilihat menikmati makan malam bersama lelaki berkenaan di sebuah restoran mewah selain turut menerima sejambak bunga dan hadiah.
Dalam pada itu, Cik B mengakui dia lebih selesa berkawan dengan individu yang sekepala dan serasi dengannya.
“Ada juga yang komen lelaki berkenaan cuba rapat dengan saya hanya kerana duit, tapi ramai yang tak tahu individu tersebut pun kaya juga. Jadi kita sekufu.
“Saya memang akan cari golongan yang ‘sekufu’, tapi dalam berkawanlah maksud saya. Sebab kadang-kadang kalau kita tak sekepala, susah juga.
“Saya tak pandang pada duit atau harta, tapi pemikiran seseorang,” katanya lagi.
Syukur Atas Rezeki
Berkongsi mengenai Anugerah Wanita Muda yang diteriman atas kejayaannya bergelar usahawan muda, Cik B meluahkan rasa syukur atas penghargaan tersebut.
“Saya memang tak sangka, tapi pada masa sama rasa terharu dan bersyukur. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang tak pernah putus menyokong.
“Malah saya pernah terfikir, adakah saya ini berhak untuk terima penghargaan sebegini. Saya ni biasa-biasa saja, tapi alhamdulillah semuanya atas berkat doa ibu dan penyokong.
“Dalam banyak-banyak wanita muda lain yang berjaya, tapi saya yang dipilih dan ada rezeki untuk terima anugerah ini. Terima kasih,”katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI