“Cinta Bertandang Tanpa Diduga Hingga…,” – Selamat Bergelar Isteri Ahmed Faris, Sharifah Amani Cerita Momen Perkenalan

Share

Pelakon Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 36, selamat bergelar isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Impact Integrated, Ahmed Faris Amir, 34, pada majlis tertutup di sebuah premis acara di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu dinikahkan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee berwalikan bapa pengantin perempuan, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.

Pada majlis berkonsep rona putih dihadiri 200 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang.

Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Antara rakan yang hadir adalah Vanidah Imran, Bront Palarae, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad dan Sangeeta Krishnasamy.

Anggun mengenakan persalinan rona putih rekaan Tangsi Tujuh dan ditata rias adik bongsu, Sharifah Aryana, Sharifah Amani yang mesra disapa Nani, bersyukur perancangan hari bahagia sejak beberapa bulan lalu, lancar.

“Alhamdulillah, di sebalik ujian pandemik COVID-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.

“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.

“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami… Insya-Allah,” katanya yang juga anak kepada pelakon dan guru lakon, Fatimah Abu Bakar ini.

Berkongsi detik perkenalan, pasangan ini mula bertemu tiga tahun lalu ketika Sharifah Amani memikul tugas sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah organisasi diketuai Ahmed Faris.

“Bagaimanapun, tiga tahun lalu, kami bekerja atas paksi profesional… Belum ada rasa cinta.

“Dipendekkan cerita, selepas COVID-19, masing-masing solo. Cinta bertandang tanpa diduga hingga akhirnya kami diizinkan bertemu jodoh,” katanya.

Mengenai peribadi suami, Sharifah Amani tertawan dengan kebijaksanaan Ahmed Faris.

“Suami tangkas dalam setiap gerak-geri. Dia pandai dan bijak mengambil hati saya.

“Malah, pada masa sama, suami sering buat saya tergelak dan mudah terhibur. Apa yang buat kami serasi, dia adalah antara kawan lepak yang ‘sempoi’ dan terbaik,” katanya.

Mengenai bulan madu, pasangan ini belum merancang dan ditanya soal zuriat, Sharifah Amani dan suami tidak menolak rezeki andai dikurniakan cahaya mata pengikat kasih.

“Kami hendak selesaikan proses berpindah rumah selepas berkahwin. Kemudian, baik saya mahu pun suami, masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.

“Mungkin apabila selesai kerja dan suami dapat cuti, kami boleh fikir perancangan spontan menghabiskan masa berdua. Kalau okay pun, mungkin akhir tahun ini,” katanya lagi.

Ahmed Faris dan Sharifah Amani diraikan pada majlis resepsi di lokasi sama malam ini.

Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH