“Cuba ‘interview’ Ruhainies pula.”
Demikian jawapan spontan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah ketika diminta mengulas mengenai pengakuan suaminya, Aliff Aziz dalam sebuah sesi podcast, baru-baru ini, lapor Kosmo!
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, memilih untuk tidak menjawab panjang sebarang soalan, ketika hadir ke majlis pelancaran satu produk kecantikan dan pelantikan Nabila Razali sebagai duta, di ibu negara, pada Ahad.
Pada majlis berkenaan, Bella diundang membuat persembahan dengan membawakan lagu Masing Masing nyanyian asal Ernie Zakri.
Terdahulu, tular video yang memaparkan Aliff tampil berkongsi mengenai isu melibatkan rumah tangganya dalam sebuah podcast yang sekaligus meraih perhatian warganet di negara ini.
Ditanya sama ada dia sudah bersedia dengan kes mahkamah yang akan datang pula, kata Bella, dia sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal.
‘InsyaAllah, saya sudah sedia,”katanya.
Imbas kembali, krisis rumah tangga pasangan selebriti itu mula tercetus dan menjadi perbualan ramai apabila Aliff dicekup selepas dipercayai khalwat bersama aktres, Ruhainies di sebuah kondominium pada 9 Mac lalu.
Bella kemudiannya membuat keputusan untuk memfailkan cerai terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac.
Tidak lama selepas itu, muncul pula seorang wanita Singapura yang dikenali sebagai Sarah Yasmine yang mendakwa menjalin hubungan cinta dengan Aliff sejak Januari lalu.
Sarah menerusi media sosial turut berkongsi beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp antara di antara Aliff dan ‘NRF’ sehingga membabitkan nama beberapa artis lain.
Untuk rekod, Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini