Kalau sudah lahir dalam keluarga yang berada, pastinya hadiah ulang tahun yang bakal diperoleh bukan biasa-biasa.
Inilah yang terjadi kepada cucu sulung Kris Dayanti, Ameena Hanna Nur Atta yang menerima hadiah sebuah kereta Hyundai Staria yang berharga lebih Rp905 juta atau RM277 ribu sempena ulang tahunnya yang kedua.
Kereta tersebut merupakan hadiah dari bapa Ameena, Atta Halilintar, yang melihat kereta tersebut sebagai satu keperluan untuk memudahkan perjalanan Ameena ke sekolah kelak.
Kongsinya kepada media, “Ini pun permintaan mamanya juga kerana dia bekerja dan saya juga bekerja. Jadi anak-anak perlukan kereta sebesar ini kerana sudah mulai bersekolah. Lagipun mamanya sudah memasukkan Ameena ke sekolah, jadi inilah hadiahnya.”
Kereta Hyundai Staria yang memiliki lebih tujuh tempat duduk itu hadir dengan rona hitam menawan. Menurut Atta lagi, hadiah ini merupakan hadiah jangka panjang yang boleh digunakan sehingga dewasa.
“Alhamdulillah, nanti 20 tahun ke hadapan tak perlu beli lagi. Untuk dia ke sekolah dan sampai bila-bila,” tambahnya lagi.
Apabila ditanya tentang pemberian yang sebegitu mewah untuk anak yang baru berusia dua tahun, Atta ada sebab tersendiri. Baginya, pemberian tersebut sesuai dengan keperluan dan bermanfaat untuk digunakan.
Sekadar informasi, Atta Halilintar berkahwin dengan anak sulung Kris Dayanti, Aurelie Hermansyah dan kini dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan