“Cukuplah Zaman ‘Perang’ Ni, Kubur Pun Dah Memanggil,” – Awie & Amy Sudah Berdamai

Share

Hubungan di antara dua vokalis rock lagenda tanah air Datuk Awie Wings dan Datuk Amy Search kini kembali jernih setelah hampir empat tahun mereka dikatakan tidak bertegur sapa.

Jelas Awie atau nama penuhnya Ahmad Azhar Othman, perasaan hormatnya terhadap Amy masih tinggi dan disebabkan itu, dia tidak mahu memanjangkan lagi persengketaan ini.

“Kami sudah kembali rujuk. Alhamdulillah, saya merasakan bulan ini sangat mulia dan penuh dengan kemaafan. Banyak perkara baik yang berlaku di dalam bulan ini.

“Ada pihak mengutuskan seseorang untuk berjumpa dengan saya bagi membincangkan tentang satu perjumpaan dengan Amy. Namun, saya minta waktu untuk berfikir dahulu. Maklumlah, masing-masing ada ego yang tersendiri.

“Lama-kelamaan, saya terfikir yang saya tidak mahu berlaku biadap terhadap orang yang lebih dewasa. Saya sayang Amy seperti abang sendiri dan sebagai pelopor muzik rock di Malaysia ini. Tiada orang lain boleh dapat nombor satu kecuali Amy,” katanya kepada MH.

Awie yang kini turut bergelar pengarah itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas selesai festival muzik, Nusafest yang berlangsung di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Katanya lagi, dia dan Amy sudah pun saling bemaaf-maafan dan kini bersedia untuk membuka lembaran baharu.

“Hubungan kami dingin agak lama juga sejak Abang Yazit meninggal. Namun, saya akur sebagai orang yang lebih muda, saya pergi berjumpa dia dan bermaaf-maafan sebagai adik dan abang, sahabat dan rakan seperjuangan.

“Saya tak nak panjang cerita lagi. Makin lama, kita makin berusia dan kubur pun memanggil. Cukup-cukuplah. Jadi, saya ingin berterima kasih kepada pengaturnya daripada pihak Shiraz Projek.

“Mereka asbab kami berbaik-baik. Pahalanya besar,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Dipenjara Janji ini turut menyifat pertemuan semula dengan dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Putri Qasseh Antasha, 13, baru-baru ini menjadi asbab dia membuka matanya untuk memperbaiki hubungan dengan rakan-rakan yang kain.

“Saya ambil masa beberapa minggu juga untuk bertemu dengan Amy. Secara terus terang, saya tidak mahu berkelakuan kurang ajar kerana dalam keadaan kita marah, kita akan bercakap yang bukan-bukan.

“Jadi, saya harus berfikir panjang. Apabila saya dapat bertemu semula dengan anak-anak saya bersama bekas isteri, di situ saya mula merasakan cukuplah zaman perang-perang ini.

“Bila saya dapat memeluk dan cium kedua-dua anak saya, dari situ saya hubungi semua kawan-kawan yang pernah bergaduh, saya minta lupakan persengketaan dan berkawan semula,” akhirinya.

Terdahulu, hubungan dingin bermula apabila Amy dikatakan berkecil hati dengan kenyataan Awie yang mendakwanya mengabaikan Yazit ketika sakit.

Lantaran itu, Amy merasakan tuduhan tersebut tidak berasas dan dan hanya mendengar penjelasan daripada sebelah pihak.

Sekadar informasi, Allahyarham Yazit disahkan meninggal dunia sekitar September 2019 akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf