Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha kini melancarkan single raya pertamanya berjudul Jom Raya, hasil kolaborasi bersama penyanyi Alfie Zumi.
Daiyan berkata, lagu ini sebenarnya sudah siap sejak setahun lalu, namun tertangguh susulan kesibukan jadual.
“Ini lagu raya pertama saya dan ia sangat mengujakan. Sebenarnya lagu ini sudah pun separuh jalan disiapkan tahun lalu tetapi disebabkan kekangan masa, saya tangguh dahulu.
“Tahun ini saya hanya membuat beberapa penambahbaikan dan terus merakamkannya,” katanya yang turut
bertindak sebagai komposer bagi Jom Raya di samping Glowrush dan Efry Arwis.Dalam pada itu, Daiyan mendedahkan inspirasi utama lagu ini datang daripada fenomena ‘pickup-line’ yang sering digunakan di media sosial setiap kali tibanya musim perayaan.
“Saya perhatikan ramai antara kita yang suka beri ‘pickup-line’ berkaitan jodoh di media sosial setiap kali tibanya lebaran.
“Saya selalu sahaja nampak ayat-ayat tersebut digunakan dan ia sangat menarik perhatian.
“Disebabkan itulah saya mahu realisasikan Jom Raya ini dengan menggunakan patah perkataan yang menarik,” jelasnya lagi
Untuk kelainan, Jom Raya turut hadir dalam dua versi iaitu duet bersama Alfie Zumi dan secara solo yang bakal dilancarkan pada 21 Mac ini.
Sementara itu, jika kebanyakan penyanyi memilih suasana desa sebagai latar belakang muzik video (MV) mereka sempena musim perayaan, Daiyan mengambil pendekatan berbeza.
Dia memilih rumah moden di tengah bandar sebagai lokasi utama, menggambarkan realiti segelintir anak perantau yang menyambut Syawal di kota.
“Saya mahu mereka tonton dahulu MV ini dan nilaikan kemudian. Pasti ramai di antara kita boleh merasainya,” katanya.
Diarahkan oleh Abu Hsvii, MV Jom Raya turut menampilkan Kasih Leona dan Jazmy Juma.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini