Perbicaraan melibatkan pelakon popular Hollywood, Johnny Depp dengan bekas isterinya, Amber Heard masih lagi berlangsung sehingga kini.
Terbaharu, bekas teman wanita Johnny, supermodel British terkenal, Kate Moss telah dipanggil memberi keterangan bagi menjawab dakwaan Amber yang mengatakan Kate pernah dikasari aktor tersebut ketika mereka bercinta pada tahun 90-an.
Ketika disoal peguam Johnny mengenai insiden tersebut, Kate, 48, menceritakan semula kisah yang berlaku ketika dia dan Johnny bercuti di sebuah resort di Jamaica ketika mereka masih bercinta.
“Kami keluar meninggalkan bilik dan Johnny jalan di hadapan saya. Cuaca pada ketika itu hujan lebat.
“Sewaktu turun tangga saya terjatuh dan bahagian belakang badan tercedera.
“Saya menjerit dan Johnny terus dukung saya bawa ke bilik kami dan dia kemudiannya menghubungi pasukan perubatan bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
“Johnny tidak pernah menolak, menendang atau menghumban saya jatuh dari tangga,” katanya yang menjadi saksi secara virtual pada Rabu.
Keterangan yang diberikan itu sekali gus menolak dakwaan Amber yang mendakwa Johnny pernah mengasari Kate sepanjang mereka bercinta dari tahun 1994 hingga 1998.
Sekadar informasi, Johnny, 59, dan Amber, 36, berkahwin pada Februari 2015 namun telah disahkan bercerai pada 13 Januari 2017.
Bintang Pirates of the Caribbean itu menyaman Amber sebanyak AS$50 juta (RM220 juta) atas alasan telah menjatuhkan reputasinya dan menyebabkan kehilangan kontrak berlakon bernilai jutaan dolar.
Amber pula mendakwa Johnny seorang kaki pukul dan dia merupakan mangsa keganasan rumah tangga.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI