Dakwaan Pengurus Lebih Sudu Daripada Kuah, Khairul Aming Mohon Maaf; “Saya Sendiri Akan Uruskan…Sehingga Ada Pengganti Baru.”

Share

Sejak semalam, nama pempengaruh media sosial, Khairul Aming hangat diperkatakan netizen selepas pengurusnya dikatakan lebih sudu daripada kuah.

Pendedahan itu dibuat beberapa individu yang pernah berhadapan pengalaman buruk berurusan dengan pengurus Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman.

Menyedari isu tersebut, Khairul Aming kemudiannya tampil membuat permohonan maaf kepada semua pihak yang terlibat.

Menurut pempengaruh berusia 30 itu dia mengakui ‘terlepas pandang’ kerana mempercayai sepenuhnya sahabatnya yang diberikan peranan sebagai pengurus yang mengatur segala komunikasinya dengan mana-mana client yang ingin berurusan.

“Saya nak personally minta maaf dengan semua pihak yang pernah berurusan dengan pengurus saya sebelum ni.

“Dia adalah sahabat saya dan saya sangat mempercayainya untuk kendalikan perkara ini tanpa betul-betul crosscheck kualiti kerja dia. Akhirnya banyak orang ada pengalaman buruk dengan dia selama ini,” tulis Khairul Aming di laman Twitter miliknya.

Dalam masa yang sama, pengasas Sambal Nyet ini tidak lepas tangan sebaliknya menggariskan beberapa langkah penambahbaikan dalam usaha menyelesaikan isu yang dibangkitkan netizen.

“Berkenaan isu semalam, berikut ialah langkah ke hadapan untuk penambahbaikan.

“Saya telah memadamkan semua contact pengurus daripada media sosial. Buat masa ini saya sendiri akan menguruskan segala pertanyaan sehingga ada pengganti baru.

“Buat masa ini saya akan berhenti membuat video untuk pelanggan, termasuk produk makanan, restoran atau seminar dan lain-lain. Saya ingin menumpukan terhadap perkara yang saya suka dari tujuh tahun yang lalu, iaitu video memasak,” tulisnya lagi.

Bekas jurutera itu juga berkata dia mengambil maklum saranan yang dibangkitkan netizen agar memintanya tidak melantik rakan sendiri untuk menggalas tugas berkaitan kerjayanya.

“Ramai juga yang nasihat untuk asingkan persahabatan dengan bisnes dan saya setuju benda ini yang paling sukar buat saya sebab saya bermula dari bawah dengan kawan-kawan. Saya mengambil maklum dan akan melakukan tindakan yang perlu.

“Sekali lagi saya nak mohon maaf kepada semua pihak yang terlibat selama ni. Saya belajar banyak hari ini dan akan cuba perbaiki lagi lain kali. Terima kasih banyak-banyak,” tulisnya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto:  Instagram & Twitter Khairul Aming

Published by
Juliana Johar