Dalam 6 Hari Raih 1 Juta ‘Views’, Iman Troye Syukur Tak Sangka! “Trek Rekod Sebegini… Pencapaian Peribadi Yang Luar Biasa.”

Share

Penyanyi remaja, Iman Troye terharu dan berbesar hati apabila muzik video single terbarunya, Nang kini menjadi trending, setetusnya mencapai tontonan lebih sejuta sejak ia dilancarkan di YouTube enam hari lalu.

Menurut Iman,19, atau nama sebenarnya, Siti Nur Alyssa Sahabudin, kejayaan itu perlu dihargai dan memberi makna tersendiri.

Apatah lagi, bakat baru itu sentiasa tular dengan apa dilakukan. Dua singlenya terdahulu, Teman dan Pejam Celik Hari Raya turut berjaya mencecah tontonan 1 juta dalam tempoh waktu kurang seminggu dilancarkan.

“Untuk mencipta trek rekod sebegini dengan mendapat 1 juta tontonan dalam tempoh kurang seminggu bagi video muzik tiga lagu nyanyian saya sesuatu pencapaian peribadi yang cukup luar biasa.

“Tambah pula tiga lagu saya yang masing-masing ciptaan Ezra Kong dan lirik A Ramlee dilancarkan ketika fasa pandemik COVID-19 yang kita sedia maklum ketentuan pasaran muzik itu sendiri tidak mampu ditebak hala tujunya.

“Saya harus berterima kasih kepada semua yang menjadikan semua ini kenyataan. Terutama peminat serta rakan media yang tidak putus putus memberikan sokongan,” katanya yang juga duta pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini.

Terdahulu, Nang terbitan XO House Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia dilancarkan 15 Oktober lalu di semua pelantar muzik digital terpilih itu turut menjadi ‘top 10’ di Spotify.

Majlis pelancaran lagu itu sebelum ini telah dilancarkan serentak dengan kempen PTTI 2 Juta Bangkit Belajar.

“Saya anggap kehadiran lagu pop Melayu berentak Jawa dan ada sentuhan tradisional ini lebih manis kerana pihak PTTI juga sudi melancarkannya.

“Malah tugas sebagai duta pusat ilmiah itu datang dengan tanggungjawab. Saya sendiri bergelar pelajar peringkat Diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya harap dapat terus mengimbangi seni dan pelajaran sebaik mungkin.

“Saya juga berharap agar selepas ini peminat akan lebih menyokong karya tempatan dan boleh membuatkan video muzik lagu nyanyian yang lain mendapat tontonan satu juta juga tetapi dalam masa kurang sehari seperti penyanyi antarabangsa lain.

“Jika itu mampu terjadi, saya akan takjub dan ‘speechless’,” katanya yang merakamkan lagu itu sekitar Januari lalu.

Video muzik single ketiga ini pula membabitkan kos perbelanjaan lebih RM100,000 untuk pembikinannya.

Ia sekali gus menjadi video muzik termahal diterbitkan di bawah syarikat XO House Sdn Bhd setakat ini dan penggambaran video muzik berkenaan dibuat selama dua hari iaitu pada 6 dan 7 Oktober lalu.

Video muzik arahan Lily Samsuddin ini turut menampilkan sisi bakat tari Iman yang dikoreografi Aus daripada Nasty Rock Crews.

Manakala Adib Hamdi dan Alia Elena pula bertindak sebagai Penerbit Eksekutif.

Nang turut disokong Hotlink yang menawarkan pengalaman hiburan tanpa henti dengan menguasakan hiburan tempatan dalam laman sosial kegemaran Malaysia seperti YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok.

Menerusi kolaborasi itu, jenama telekomunikasi itu memantapkan penguasaan hiburan mereka dan menginspirasikan semangat #BikinSampaiJadi sekali gus memberikan peminat hiburan tempatan lebih banyak kandungan eksklusif dan pengalaman terbaik.

Untuk rekod, Iman juga mencipta sukses tersendiri apabila berjaya meraih 4X Platinum bersamaan RM1 juta membabitkan ‘talent management revenue’ termasuk menerusi persembahan dalam lagu Teman dan Pejam Celik Hari Raya.

Published by
MH