Pelakon, Zahiril Adzim akui teruja saat pertama kali melangkah masuk ke set filem Bakara yang kini baru memulakan sesi penggambarannya di Turki.
Menurut Zahiril, dia bakal memanfaatkan kesempatan ini untuk memberikan kualiti lakonan yang terbaik di dalam filem yang mengangkat kisah mengenai sejarah tentera Malaysia ini.
“Hari pertama berada di Turkey untuk membikin filem #Bakara sebagai Leftenan Dahari.
“Berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada team ini yang mengangkat sebuah kisah daripada sejarah tentera Malaysia di mana terjadinya peristiwa dan pertempuran yang menggerunkan di Somalia pada tahun 1993,” tulisnya.
Kisah tersebut dikongsikan sendiri oleh suami kepada pelakon, Shera Aiyob itu menerusi hantaran terkini di laman Instagram.
Katanya lagi, filem ini juga bakal menceritakan kisah sebenar mengenai pengrobanan dan perjuangan tentera Malaysia yang kurang diberikan perhatian oleh masyarakat dunia.
“Peristiwa ini telah difilemkan dalam filem ‘Black Hawk Down’ di mana tentera US terperangkap di tengah pasar Bakara, Somalia.
“Tentera US ada yang dah kehabisan peluru, ramai yang dah terkorban dan mereka seperti sudah takda harapan untuk keluar dari situ dan akhirnya mereka diselamatkan oleh tentera UN. Siapakah yang ada dalam tentera UN waktu itu?
“Mereka adalah tentera Malaysia yang sangat berani, Malbatt (Malaysian Battalion). Malbatt lah yang berjaya membawa keluar askar US waktu itu. Tapi dalam filem Black Hawk Down, nama Malaysia hanya disebut sekali dalam 1 babak.
“Dan kali ini, giliran Malaysia untuk menceritakan kisah sebenar dalam filem #Bakara arahan @adrianteh19,” kongsinya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti turut menzahirkan rasa tidak sabar untuk menonton hasil akhir filem ini selain turut memberikan kata-kata semangat buat barisan pelakon.
“All the best bob & team Bakara. Tak minta banyak pun, nak meremang bulu tengkuk je bila tgk kat panggung nanti.
“Semoga dipermudahkan semuanya buat Team Bakara.
“Masuk set pon dah teruja. Tk sabar tunggu hasilnya.
“At last bro at last! Memang aku tunggu.
“Menyegarkan minda rakyat malaysia kalau banyak kan cerita sejarah mcm ni . Menyemangatkan lagi sifat sayang negara utk generasi baru atau BBNU,” antara komen-komen netizen di Instagram.
Terdahulu, Bakara merupakan sebuah filem yang diarahkan oleh sutradara terkenal Adrian Teh.
Selain Zahiril, filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon hebat lain antaranya Hairul Azreen, Nafiez Zaidi, Safwan Nazri, Taufiq Hanafi dan ramai lagi.
Sumber & Kredit foto: Instagram Zahiril Adzim