Uncategorized

“Dalam Mood Honeymoon Lagi,” – Izara Aishah Buka Cerita Soal Rumah Tangga dan Rezeki Cahaya Mata

Share

Bekas finalis Dewi Remaja dan pelakon, Izara Aishah mengakui pada fasa sekarang, dia kini kian matang di dalam menguruskan bahtera perkahwinan dengan suaminya, Adib Khalid.

Katanya, meski dirinya masih sama seperti dahulu, bagaimanapun rutin kehidupan mulai berubah apatah lagi ketika umat Islam seluruh dunia sedang menjalani ibadah puasa.

Bercakap mengenai gaya hidupnya ramadan ini, pelakon drama rantaian Dia ini menjelaskan, puasa disambut secara sederhana dengan suami.

Sebagai isteri, dia cuba menjalankan tanggungjawab dalam sisi menguruskan hal rumah tangga sebaik mungkin.

“Sepanjang bulan ini, saya akan cuba masak juadah berbuka buat suami, meski tidaklah menu yang berat-berat. Hanya masak juadah yang disukai Adib. Cuma itulah, dia tak makan sayur. Kalau sahur pula, saya adalah masak juga, selebihnya panaskan lauk yang masih berbaki,” akui Izara yang masih belajar untuk menjadi isteri terbaik selepas ini.

 

“Sejak beberapa bulan mendirikan rumah tangga, kehidupan pastinya sedikit demi sedikit akan berbeza dan saya percaya, ia adalah suatu proses yang membuatkan kita lebih matang.

 

“Sama juga seperti kami. Real life dan saya pun masih lagi belajar,”jelasnya.

Ditanya apakah perubahan terbesarnya pada saat ini, Izara mendedahkan hampir tujuh bulan bergelar isteri ingatan dan ambil beratnya terhadap Adib kian mendalam.

“Sekarang kalau saya sedang bekerja, fikiran asyik terfikirkan suami. Bagaimana keadaannya, okay atau sebaliknya. Sebelum berkahwin, saya tidak terfikir sangat hingga ke tahap ini, mungkin kerana masih belum terikat.

 

“Malah sebelum keluar bekerja pun, saya akan uruskan apa patut untuknya dan ya, saya masih lagi belajar. Soal anak itu adalah rezeki, sebab sekarang masih dalam mood honeymoon lagi,” seloroh Izara ketika di temui MH di majlis berbuka puasa dan pelancaran jenama platfrom e-dagang terkenal, Shopee.

Turut sama diumumkan sebagai Squad Shopee ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Elfira Loy, Emma Maembong, Heliza Helmi dan Nora Dansih.

Dalam perkembangan lain, Izara akan kembali ke lokasi penggambaran ramai episod terbaru, Jodoh Jodoh Anissa bulan depan.

 

 

 

Published by
Rafiq Mazlan