“Dalam Van Sepanjang 21 Jam Kami Duduk Tegak, Kalau Ikut Hati Memang Saya Tak Tahan Dah. Tuan Bayangkanlah…,” – Ustaz Ebit Lew Leraikan Persoalan

Share

Penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew mendedahkan dia bersama para pasukannya terpaksa mengharungi perjalanan yang sangat panjang untuk menjalankan misi bantuan di bumi Gaza, Palestin baru-baru ini.

Jelas Ustaz Ebit, perjalanan yang mengambil masa selama 21 jam tanpa henti itu harus melalui 21 jenis ‘checkpoint’ sambil diiringi 12 kereta perisai daripada pihak tentera.

Menerusi sesi siaran langsung awal petang tadi, Ebit telah pun memberikan reaksi balasnya terhadap pelbagai persoalan, antaranya mengenai misi bantuan sepanjang berada di bumi bergolak itu.

“Sebenarnya perjalanan kami ke Gaza mengambil masa 21 jam. Sepanjang 21 jam itu saya kena harungi 21 checkpoints. Kami bersyukur kepada kedutaan Malaysia dan Wisma Putra yang telah banyak bantu kami.

“Memang rezeki saya bila dapat masuk. Sepatutnya perjalanan tersebut dijangka mengambil masa enam hingga lapan jam sahaja tapi ia telah menjadi 21 jam.

“Sepanjang 21 jam perjalanan tersebut dengan diiringi kereta kebal memang tiada jalan lain lagi. Memang itulah jalan yang harus kami lalui. Bila orang luar nak masuk memang kena iring dengan kereta kebal sebab ia melibatkan negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Ebit turut mendedah perjalanannya menuju ke Gaza sememangnya bukan sesuatu yang mudah namun dia tetap menguatkan semangatnya bagi memastikan misi ini berjalan dengan lancar.

“Kami tandas pun tak sempat pergi, makan pun tak sempat. Dalam van sepanjang 21 jam kami duduk tegak sahaja. Kalau ikut hati memang saya tak tahan dah. Tuan-tuan bayangkanlah macam mana.

“Ada jalan yang tak boleh lalu. Ada jalan kena cancel dan terpaksa lalu padang pasir. Setibanya di sana, saya turun bas dan prosesnya memang ringkas.

“Saya nampak video yang Nadir ambil tu. Bila saya sampai dalam lingkungan pukul 1 pagi, saya fikir saya belum solat Magrib dan Isyak.

“Saya memang nak solat jamak. Sifat saya memang begitu. Team saya juga dah faham. Kalau waktu solat tu saya memang nak kejar waktu solat,” jelasnya lagi.

Ditanya mengenai isu larangan mengadakan sesi siaran langsung di media sosial, ini reaksi yang diberikan oleh Ustaz Ebit;

“Bila sampai di sana, mereka jemput saya duduk di sebuah kerusi. Kemudian Nadir kata saya tak tegur, tak pandang dan tak salam, sebenarnya saya biasa kalau orang salam atau tegur saya saya mesti balas. Kemudian ada ucapan dari pihak kedutaan selepas itu saya cepat-cepat pergi solat. Selesai solat saya naik ke hotel.

“Saya tak sempat nak tengok atau perasan orang lain. Kalau isu live di sosial media pula, kalau anda semua mengikuti perkembangan saya menjalankan misi bantuan di Malaysia pun kami tak benarkan sesiapa buat live semasa misi bantuan.

“Saya sendiri tak buat live. Sebab saya tak bagi buat live adalah kerana kita tak jangka kalau ada sesuatu yang buruk berlaku. Lebih-lebih lagi di zaman SOP ni. Nanti saya dan orang lain pula terima akibatnya. Sebab anda kenal saya, saya suka kongsi perkara yang positif sahaja.

“Bagi saya, Nabi pernah sebut, sesiapa yang memulakan sesuatu kebaikkan dan orang lain ikut, sampai kiamat orang memulakan itu dapat pahala,” akhirinya.

Terdahulu, Ebit Lew telah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur petang Rabu mengenai hal berkaitan.

Sumber: Instagram Ustaz Ebit Lew

Published by
Aizam Manaf