Penyanyi Damian Mikhail kini muncul dengan single pertama berjudul Hidayah dan ia menjadi momen istimewa kerana buat julung kali, dia memberanikan diri menyampaikan sebuah lagu bertemakan ketuhanan secara solo.
Lagu ini hasil ialah ciptaan sepenuhnya Adi daripada kumpulan nasyid Saujana dan diterbitkan secara eksklusif bersama Azalinor Saujana.
Single ini menceritakan mengenai hidayah iaitu petunjuk daripada Allah SWT kepada insan yang terpilih.
Hidayah seringkali sinonim dengan insan yang baru memeluk agama Islam. Namun, hidayah itu sendiri merangkumi sesuatu perkara yang lebih menyeluruh.
Malah, susunan muziknya cukup sederhana sesuai dengan mesej hidayah itu yang merupakan sesuatu yang masih segar buat saudara baru.
Hanya iringan gitar dan cello sudah cukup menghadirkan rasa tenang dan damai bagi mereka yang mendengarkannya.
Ia mendapat sentuhan pemuzik yang berpengalaman iaitu Syafiq Vai (gitar) dan Nazrin (cello) daripada kumpulan SOG.
Cukup istimewa, muzik video Hidayah ini mengetengahkan seorang saudara baru iaitu Maryam Narae, selebriti yang berasal dari Korea Selatan.
Dia yang turut dikenali sebagai Maryam DurianKimchi, berjaya menyentuh hati penonton walaupun muzik video ini tidak menampilkan Damian.
Untuk rekod, kedua-dua mereka memeluk Islam sebagai persediaan pernikahan dengan pasangan masing-masing.
Namun begitu, perjalanan hidayah Damian telah hadir lama sebelum dia mendirikan rumah tangga iaitu selepas di bangku sekolah lagi apabila sering berkawan dengan sahabat-sahabat beragama Islam.
Lagu ini diterbitkan oleh Scriptology Sdn Bhd dengan edaran digital Euphoria Music dan sudah boleh ditonton di YouTube sejak 1 April lalu.
Dalam perkembangan lain, Damian juga bakal beraksi di showcase solonya yang pertama pada 31 Ogos ini jam 8.00 malam di Cafe LiberalLatte, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini .