“Dapat Berlakon Sama Buat Kali Pertama,” – Beli Kaset & Pernah Beratur Demi Nak Bergambar, Che Ta Rupanya Peminat Fauziah Latiff!

Share

Selain pernah mengkagumi bakat Ziana Zain, pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan atau Che Ta turut mendedahkan dirinya begitu meminati Fauziah Latiff (Jee).

Malah peluang untuk bersama-sama dengan penyanyi senior itu menerusi drama Tahyul terbitan Zeel Production yang kini bersiaran di slot Samarinda TV3 menjadi satu peluang yang sukar dilepaskan.

Drama 15 episod arahan Junaime Ramfizal Rahmat atau Che Mie itu ketika ini masih menjalani penggambaran di Perlis.

Menurut Che Ta, selain menerima tawaran tersebut kerana turut dibarisi pelakon seperti Jee, peranan sebagai Detektif Masni juga menarik perhatiannya.

“Ikutkan saya jarang memegang watak seperti polis atau perisik. Begitu juga detektif. Sebelum ini dalam drama Gerak Khas pun saya pernah muncul jadi Deputi Superintenden Polis untuk beberapa episod.

“Sebelum itu, karakter Kiah Pekasam juga diperluaskan menjadi Kiah Spy. Saya juga pernah jadi ‘spy’ dalam drama Family Spy yang turut dibintangi Alif Satar.

“Apabila ditawarkan watak detektif, saya nampak kelainan untuk mempertimbangkan drama Tahyul. Masa baca skrip, saya tanya siapa pegang watak Puan Qaseh. Apabila diberitahu ia dilakonkan Jee, tak ada sebab saya nak menolaknya,” katanya.

Ketika zaman kemuncak kerjaya nyanyian Jee, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui tidak ketinggalan membeli kaset Jee.

“Boleh kata semua koleksi lagunya yang meruntun jiwa saya ada. Malah saya pernah beratur semata-mata nak bergambar dengannya di sebuah karnival persembahan di Alor Setar, Kedah.

“Saya pernah disatukan dengan Jee dan Ziana dalam sebuah fotografi kulit muka depan majalah fesyen dan kecantikan. Tak sangka dapat pula berlakon dengan Jee buat kali pertama,” katanya.

Tahyul turut dibintangi Aniq Suhair, Cik B, Wani Kayrie, Ahmad Adly Sofwan, Shah Khan, Tania Hudson, Aidit Noh dan ramai lagi.

Dalam pada itu, ketika sektor kreatif diberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan sejak 9 September lalu, Che Ta bersyukur kerana dihujani pelbagai tawaran drama.

Selain Tahyul, isteri kepada pelakon, Zain Saidin itu turut melunaskan penggambaran drama Kerana Dia Suka juga di Perlis terbitan produksi sama.

Malah Che Ta membawakan watak sebagai perempuan tua bernama Hajah Mariah. Turut sama berlakon ialah Fendi London, Fendi London, Rita Nadira dan Fikry Ibrahim.

“Macam saya selalu tekankan sebelum ini, akan ada salah anggap dan tafsir terhadap insan bernama Rozita Che Wan.  Selalu akan fikir kalau saya berlakon kena cantik sepanjang masa.

“Malah sampai ada cakap, saya menjadi diri sendiri. Realitinya memanglah saya Rozita Che Wan. Tapi saya akan berlakon ikut karakter diberikan. Malah’ look’, solekan dan warna baju pun produksi tentukan.

“Dalam drama Kerana Dia Suka, saya memang berbeza daripada watak lain termasuk Detektif Masni,” katanya lagi.

Published by
MH