“Dapat Juga Kongsi Rezeki Tolong Ringankan Beban…,” – Hasil Jual Air, Ini Cara Amir Raja Lawak Bantu Kawan

Share

Pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak teruja apabila bisnes Air Jagung Amerreka yang diusahakannya di tepi jalan sejak 2017 lalu kini dapat memberi manfaat dengan membantu orang lain mencari pendapatan tambahan.

Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi menerusi Harian Metro memberitahu, dia kini turut dibantu rakan industri dalam menjalankan perniagaannya.

“Sekarang pun ada kawan saya yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja industri membantu saya berniaga. Alhamdulillah, dapat juga saya kongsi rezeki dan tolong ringankan beban keluarga kawan saya di dalam keadaannya tak boleh ‘shooting’ ketika ini.

“Walaupun risau juga terdedah dengan persekitaran kerana kes jangkitan Covid-19 yang masih lagi tinggi, tapi saya ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Jika ada pelanggan yang nak bergambar, saya minta jarakkan diri dan bersalaman pun tak boleh,” katanya.

Bintang berusia 32 tahun itu turut menambah, dia turut  memasang hasrat untuk mengembangkan bisnes sekiranya ada rezeki besar selepas ini.

“Saya pun ada hasrat nak buka kafe macam kawan-kawan lain, memang teringin. Tapi, saya kena fikir banyak sudut sebab nak kena beringat untuk bayar sewa kedai dan gaji pekerja.

“Malah, melihatkan situasi pandemik yang masih teruk sekarang ini tak tahulah bila akan reda. Saya risau dengan keadaan yang tidak menentu ketika ini apabila tengok ada peniaga-peniaga kena tutup kedai sebab tak mampu nak tanggung lagi,” katanya.

Turut simpati dengan nasib peniaga yang terpaksa gulung tikar ketika pandemik ini, Amir berdoa semoga mereka berjaya untuk kembali bangkit.

Dia pada masa sama tidak berasa malu mencari rezeki menjual air di tepi jalan.

Malah, dia kini bersyukur bisnesnya itu sudah mempunyai agen dan stokis di beberapa negeri dan turut menambah perisa air baharu iaitu air epal dan tembikai susu selain jagung dan keladi yang sedia ada.

Amir juga bertuah kerana isterinya, Nur Intan Syafinaz dan keluarga menyokong penuh mengenai bisnes yang diusahakan.

Media Hiburan sedang menganjurkan pertandingan menarik bersempena dengan MCO 3.0 ini, siapa tahu rezeki akan jadi milik anda.

Pertandingan nyanyian ‘Karok Lockdown’ khas buat anda yang mahu ketengahkan bakat menyanyi, kalau bertuah ganjaran wang tunai menanti!

Apa yang anda perlu buat? Klik saja link DI SINI untuk mendaftar sekarang. Mana tau korang pemenang yang kami cari, all the best!

Sumber : Harian Metro

Published by
MH