“Dapat Mak Mentua Bagus, MasyaAllah Untungnya,” – Jangan Kurang Ajar Dengan Mereka, Sharifah Shahirah Dedah Rutin Ramadan

Share

Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah berkongsi cerita mengenai ibu mentuanya, Datin Maria Arshad, baru-baru ini.

Perkara tersebut didedahkan pelakon drama KL Meroyan itu menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi Suria FM ketika ditanya apa menu berbuka pada Ramadan yang pertama.

Lalu, bintang berusia 46 tahun ini turut menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan ibu mentua yang sangat baik.

Malah kakak kepada pelakon Sharifah Sakinah ini menambah, dia turut menjalinkan hubungan baik bersama bekas ibu mentuanya hasil perkahwinan terdahulu.

“Lauk hari ini mak mentua yang masak. Aku dah 18 tahun dengan suami, alhamdulillah mak mentua semua ‘sponsor’.

“Mak mentua yang sama. Kalau yang lama pun, alhamdulillah baik. Dapat mak mentua bagus, masyaAllah untungnya,” katanya.

Dia pada masa sama turut berpesan supaya saling menghormati.

“Jangan kurang ajar dengan mak mentua, kena jaga hati mak mentua walaupun bukan mak kamu (kandung). Kalau aku lah kan…kalau ada mak mentua yang jenis berkira ni, tak usah lah nak lawan ke apa.

“Selagi kita mampu, larat. Kalau ada, kalau tak ada tak apa. Mana yang baik itu kita ambil,” katanya lagi.

Turut sama di dalam video berkenaan ialah rakan penyampai, Tyzo.

Imbas kembali, Shahirah sebelum ini pernah berkahwin bersama Jatt yang merupakan vokalis Black Dog Bone dan dikurniakan seorang anak perempuan, Allisya, 22.

Selepas itu, dia mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Ijoy Azahari pada 28 Februari 2003 dan dikurniakan empat orang anak iaitu Airell, 15, Airra, 12, Audra, 10, dan Adeena, 2.

Video, Foto : Instagram Suria FM, Sharifah Shahirah & Datin Maria Arshad

Published by
MH