Pelakon Hisyam Hamid akhirnya dapat pulang ke Singapura pada 27 Julai lalu selepas lebih 13 bulan ‘tersadai’ di Malaysia kerana situasi pandemik semasa COVID-19 selain terikat dengan komitmen kerja seni.
Lebih manis, dia sempat meraikan ulang tahun perkahwinan ke-15 dengan isteri tercinta, Melrose Hanafi pada 2 September lalu.
“Bagaimanapun saya hanya dapat bertemu isteri dan anak anak hanya pada 10 0gos lalu selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di hotel.
“Dapat melepas rindu akhirnya yang tak terbendung selama ini. Bayangkan kerana situasi tak terduga ini, saya juga buat kali pertama sambut Ramadan dan Syawal tanpa mereka.
“Selain dapat menghabiskan masa bersama, saya juga dapat meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan dengan isteri dalam sebuah sesi makan berdua di sebuah restoran. Moga perkahwinan kami akan kekal sampai syurga,” katanya.
Malah, pelakon yang sinonim menerusi drama Ariana Rose di TV3 itu turut menambah, dia cuba memanfaatkan kesempatan yang ada itu sebaik mungkin.
“Selepas setahun lebih tak bersama keluarga, jadi saya cuba penuhi masa yang ada dengan mereka. Setiap hari ada saja aktiviti dilakukan bersama. Saya juga cuba selit masa berjumpa rakan taulan.
“Rutin harian saya kini selepas bangun Subuh, hantar anak (Nurish Syameliah dan Hayden) ke sekolah. Selepas itu, saya bakar kalori dengan berjoging. Tengah hari macam itu, jemput semula anak dari sekolah.
“Kalau ada masa juga, saya akan bantu isteri menguruskan jualan barangannya di butik. Malah saya juga tolong isteri buat sesi siaran langsung di media sosial untuk mempromosikan barangan dijual. Khidmat penghantaran barangan jualan pun sesekali saya buat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hisyam masih menunggu menyelesailan baki penggambaran drama Cukup Derita Itu yang terhenti pada Jun lalu.
Drama arahan Along Kamaludin itu hanya sempat disiarkan hingga episod 20. Baki penggambaran untuk episod 21 hingga 40 belum bermula lagi hingga kini.
“Kalau sudah dapat pengesahan untuk memulakan penggambaran kembali, barulah saya balik ke Malaysia,” katanya lagi.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI