Tahniah diucapkan buat pelakon, Elisya Sandha, 21, yang telah pun selamat bergelar isteri kepada lelaki pilihan, Uzair Haqimy, 25, pada Sabtu.
Pasangan sama cantik sama padan ini diijabkabulkan kira kira jam 3.11 petang tadi di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID) berwalikan bapa Elisya, Mohd Faisal Abdullah.
Pengantin perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima.
Dilangsungkan sederhana sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Elisya atau nama penuhnya, Nur Elisya Hassan menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih daripada Uzair yang bekerja sebagai pengurus produksi.
Menurut Elisya, dia dan suami merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 22 Februari 2022.
“Memang perancangan bernikah hari ini berlangsung pada minit akhir. Dapat saja tarikh nikah dua minggu lalu, saya dan suami memulakan persiapan kahwin serba sederhana.
“Dengan situasi pandemik COVID-19 yang tak boleh dijangka dan peningkatan kes harian mendadak naik, segala segalanya perlu dipercepatkan.
“Termasuk dalam soal membina masjid ini. Kita dahulukan yang wajib dahulu. Insya-Allah kalau tiada aral, kami merancang untuk mengadakan majlis keraian di kampung halaman saya di Perlis.
“Cuma tarikhnya belum tahu lagi,” kata adik kepada aktres terkenal, Fasha Sandha ini.
Berkongsi mengenai personaliti suaminya itu, Elisya mendedahkan Uzair sebagai lelaki penyayang dan bertanggungjawab.
“Paling utama yang membuatkan saya tertarik kepada Uzair adalah sikapnya menjaga dan menyayangi keluarganya.
“Itu antara ciri yang saya lihat menjadi jaminan dia boleh menjaga saya dengan baik…Insya-Allah. Dia juga rajin bekerja dan menghormati orang tua. Kami juga mengharungi pelbagai ujian hidup bersama sejak dulu,” katanya.
Sementara itu, Uzair turut menyenangi peribadi isteri selain mendoakan agar semuanya dipermudahkan selepas ini.
“Elisya cukup menenangkan saya. Kami cuba melengkapi diri masing masing. Ini fasa baru untuk kami lebih serius memikirkan soal tanggungjawab. Semoga ia dipermudahkan,” kata Uzair.
Pada majlis sama, Elisya mengenakan persalinan daripada Teh Firdaus dan ditatarias Datuk Alha Alfa turut memaklumkan yang dia menerima wang hantaran berjumlah RM22,222.22.
Majlis indah itu turut dipancarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom membabitkan adik beradik, sanak saudara dan rakan rapat.
Untuk rekod, keduanya terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada 31 Januari lalu.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI