“Dapat Tahu Kena Gantikan Kak Ani Dua Minggu Lalu,” – Nyanyi Lagu Intan Payung, Amsyar Leee Jawab Soal Kecaman Netizen

Share

Penyanyi baharu, Amsyar Leee tampil menggantikan Noraniza Idris yang kini sedang mengerjakan ibadah umrah bagi menyampaikan lagu Intan Payung bersama Bunga Isme.

Ia sekali gus meleraikan teka-teki mengenai siapakah pengganti penyanyi itu di saingan Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36), malam tadi.

Meski akui gementar, Amsyar bagaimanapun cuba sehabis baik menyampaikan lagu ciptaan Luca Sickta, Bunga dan Amzar Razqa itu.

“Saya dapat tahu saya kena gantikan Kak Ani dua minggu lalu. Pada awalnya saya rasa sangat takut nak ganti Kak Ani, saya dah beritahu pihak label, Warner Music yang saya rasa sangat gementar, mungkin saya tak dapat buat yang terbaik.

“Tapi Alhamdulillah, saya rasa berpuas hati dengan persembahan saya biarpun ada kesalahan-kesalahan yang dilakukan pada persembahan sebentar tadi. Saya pun mahu kekalkan rasa enjoy atas pentas sebab saya tak mahu stress. Jadi saya enjoy dan banyak tersenyum,” katanya.

Ditanya mengenai resksi berbaur kritikan mengenai persembahannya, Amsyar optimis dan tidak mahu memandangnya daripada sudut negatif.

“Saya terima segala kecaman terhadap saya, tapi saya tak ambil serius dengan perkara terbabit kerana sebelum ini saya pernah kena lebih teruk lagi.

“Sebenarnya, lagi banyak perkara positif yang datang, jadi saya tak harus memandang kepada yang negatif sahaja. Perkara yang positif lebih banyak dan saya sangat terharu dengan semua yang memberi sokongan kepada saya,” katanya lagi.

Persaingan 18 lagu di SFMM36 berlangsung malam tadi dan baki 12 lagu akan bertanding hari ini bagi merebut peluang bersaing di Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) kelak.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH