Pelakon dan pelawak terkenal Hollywood, Amy Schumer,40, berkongsi kisah menerusi satu hantaran di laman Instagramnya hari ini. Pelakon yang pernah memenangi pelbagai anugerah itu berkongsi bagaimana kesakitannya sekian lama akhirnya telah hilang apabila dia mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan membuang rahim dan apendiks.
Berita itu dikongsi ibu anak satu ini dalam satu video yang dirakam suaminya, Chris Fischer sebaik sahaja menjalani pembedahan tersebut, menurutnya, “Sekarang adalah pagi selepas pembedahan endometritis saya dan kini rahim saya telah dibuang. Doktor telah menjumpai lebih 30 titik endometritis dan telah membuangnya.”
Bukan setakat itu sahaja, apendiksnya juga turut terkesan dek penyakit itu. Jelas Amy lagi, “Endometritis telah menyerang bahagian apendiks saya dan doktor terpaksa membuang organ tersebut juga. Terlalu banyak darah di dalam rahim dan saya berasa sangat sakit macam ada gas di dalamnya.”
Dalam hantaran tersebut, wanita berusia 40 tahun ini turut berkongsi yang jika seorang wanita mengalami sakit akibat haid yang keterlaluan, mereka berkemungkinan menghidap endometritis.
Rakan-rakan selebriti lain seperti Debra Messing, Vanessa Carlton dan Martha Hunt memberikan kata-kata semangat kepada rakan mereka ini. Debra meninggalkan pesanan, “Ya Tuhanku, 30?! Sangat gembira semuanya sudah hilang dan anda tidak perlu lalui kesakitan itu lagi. Sembuh dengan baik Amy.”
Manakala Vanessa pula berkata, “Saya bersimpati Amy. Nampaknya kehidupan selepas ini akan menjadi lebih kurang sakit tapi tak kurang rasa bergas.” Dan Martha Hunt pula memberi semangat, “Semoga cepat sembuh!!”
Untuk pengetahuan anda Amy berkahwin pada tahun 2018 dengan Chris Fischer dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia dua tahun.