Uncategorized

Dari ‘Slim’ Ke 120 KG, Puteri Aisyah Seronok Dapat Watak Berbeza

Share

Setiap pelakon tentu mahu membawakan watak yang berbeza dan mencabar keupayaan lakonan mereka. Itulah yang diinginkan oleh pelakon, Puteri Aisyah Sulaiman, 24 tahun.

Dia yang dikenali sejak menyertai Pencarian Bakat Dewi Remaja 2014/2015 semakin mengorak langkah dalam bidang lakonan dan kini bakal tampil dengan drama terbaru, ‘Isteriku 120 KG’

Memegang watak sebagai pelakon utama dengan berat, 120 KG tentunya bukan satu tugas yang mudah apatah lagi dirinya memang seorang yang kurus, Puteri Aisyah mengakui bahawa dia tidak sabar untuk membawakan watak tersebut.

“Kami akan mulakan penggambaran pada April nanti. Sejujurnya saya sangat ‘excited’ nak bawakan watak seorang wanita berbadan besar ini sebab tak pernah dapat watak macam ini.

“InsyaALLAH, saya akan cuba bawakan watak sebagai ‘Nelydia’ ini sebaik mungkin,” katanya kepada Media Hiburan.

Drama ini mengisahkan Nelydia yang bertubuh besar dan berasal dari keluarga yang miskin dan kucar-kacir, kehidupannya berubah apabila bertemu dengan Aiman Zafrill (Amar Asyraf) dan mereka berdua dipaksa kahwin.

Tujuan Nelydia bersetuju dengan perkahwinan tersebut pun adalah kerana duit, namun tidak disangka apabila dia jatuh hati pada suaminya.

Pelbagai insiden berlaku dalam perkahwinan hinggalah mereka terpisah dan Nelydia membawa diri. Namun, tidak disangka Nelydia pulang dengan keadaan diri yang ‘slim’ hingga semua orang tidak mengenali dirinya.

Dalam pada itu, ini bukanlah kali pertama Puteri Aisyah bergandingan dengan Amar memandangkan mereka pernah bekerjasama dahulu.

“Saya dan Amar pernah kerja sama dahulu dalam drama Tulus Cinta jadi mungkin tidak susah untuk wujudkan ‘chemistry’ kami berdua. Nanti di set, boleh kot,” katanya lagi.

Apa-apapun, MH tak sabar nak tengok ‘transformation’ Puteri Aisyah dalam drama tersebut. All the best!

Published by
Khaleeda Rashikin