Setiap kali penyanyi, Datuk Sheila Majid mengumumkan untuk mengadakan konsert istimewa, memang sudah menjadi kelaziman tiket yang bakal dijual akan habis bak goreng pisang panas.
Lantaran itu, para peminat sudah pastinya akan berpusu-pusu berusaha bagi mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan daripada penyanyi yang terkenal dengan jolokan Ratu Jazz Negara itu.
Bercakap mengenai perkara tersebut, Sheila yang bakal mengadakan Konsert Sheila Majid Big Band pada 18 Mac 2023 tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengadakan hari kedua.
“Saya lebih suka buat konsert untuk satu malam sahaja. Pada saya, momen berharga hanya akan dinikmati pada detik itu. Selepas itu, tiada lagi.
“Saya tak kisah mengadakan konsert untuk dua hari berturut-turut sekiranya ia program charity. Kalau konsert saya, mungkin tidak. Anda harus menunggu yang seterusnya pula.
“Kadang-kadang, saya juga merasakan kita tidak boleh terlalu bercita-cita tinggi. Lebih baik kita merasai momen tersebut untuk sekali sahaja. Nanti mereka pasti mahukan lagi daripada buat dua atau tiga malam tapi tak laku,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Sinaran itu berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis sidang media Shila Majid Big Band yang diadakan di Hotel Le Meredien, Petaling Jaya pada Rabu.
Dalam pada itu, Sheila memaklumkan dirinya sedang giat melakukan persiapan untuk tidak menghampakan para penonton yang hadir ke konsertnya nanti.
“Saya sentiasa memastikan fizikal saya berada dalam keadaan terbaik meskipun ketika fasa pandemik. Sebagai penyanyi, kita kena bersedia.
“Para penonton sudah susah payah kumpul duit untuk menonton kita menyanyi. Takkan la nak buat ala kadar sahaja.
“Saya tak kata kita kena sentiasa sempurna, asalkan mereka seronok menonton persembahan kita, itu yang paling penting.
“Pada saya, waktu persediaan lebih penting daripada hari konsert. Apa yang berlaku pada hari konsert terhasil daripada setiap persediaan kita. Itu maksud sebenar tugas seorang anak seni,” akhirinya.
Konsert ini akan membabitkan 13 pemuzik, 13 ‘horn players’, tiga penyanyi latar dan selebihnya adalah rhythm section dengan penyusunan lagu-lagu yang lebih segar.
Tiket Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 dijual daripada harga serendah RM288 (Bronze), RM488 (Silver), RM588 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond) dan RM1,288 (VVIP).
Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi mereka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.