Datin Alyah & Suami Kerap Isi Masa Dalami Ilmu Agama, Rancang Tak Menyanyi Lagi Pada Umur 45 Tahun

Share

Penyanyi dan usahawan, Datin Alyah mendedahkan dia dan suami, Datuk Ramli MS lebih banyak isi masa dengan mendalami ilmu agama bersama-sama.

Malah, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan turut mengakui mereka kini saling memperbaiki diri demi mengeratkan lagi ikatan perkahwinan yang dibina lebih tujuh tahun lalu.

Jelas penyanyi Meluruh ini, perkara positif itu berjalan dengan baik sementelah mengenangkan hubungan keduanya yang pasang surut sebelum ini.

“Kita berubah di kedua-dua pihak. Dulu pernah satu waktu kita rasa sudah tiada jodoh dah… macam memaksa diri sendiri. Ini pengalaman saya sendiri sebelum ini.

“Tidak dinafikan, dalam rumah tangga ada akan ada up and down. Orang dekat luar pun get ready saja, bukan semua orang suka kita dan perkahwinan kita.

“Ada yang datang dekat saya dan cerita perkara lama masa saya tak wujud lagi. Untuk apa? Semua untuk memecah-belahkan rumah tangga,” jelasnya.

Bintang asal Johor ini turut menyatakan, rohaninya kuat apabila mendekatkan diri dengan agama dan pada masa sama, kekal sabar dalam menghadapi dugaan.

“Apa yang menguatkan saya adalah agama. Ibu bapa kita dulu tak ada laman sosial, walaupun bapa saya garang tapi ibu saya tetap menunggu bapa saya.

“Itulah agama yang dididik oleh orang tua mereka.

“Itulah yang saya rasa terlepas untuk beberapa tahun lalu. Alhamdulillah saya dah dapat balik, saya harap dapat terus kekalkan macam ini,” kata duta produk Zafesha Simply ini jujur.

Sementara itu, Alyah turut menambah, dia mempunyai perancangan untuk bersara daripada dunia seni dan turut suarakannya kepada suami.

“Jujurnya, saya memang tak akan menyanyi sampai tua. Apa pun, kita pun tak tahu tapi ini hanya perancangan. Allah lebih mengetahui.

“Ada satu waktu yang tak boleh nak dikongsikan, tapi saya akan bersara bukan berehat.

“Ini keputusan yang terbaik dan memang saya tidak akan menyanyi sampai umur 45 tahun.

“Saya pernah luahkan hasrat itu kepada suami dan dia pun faham.

“Selagi saya beri komitmen sepenuhnya pada karier seni, mungkin saya tak dapat nak berusaha untuk menambahkan ahli keluarga.

“Saya memang ada perancangan untuk lakukan rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF),” katanya lagi.

Published by
MH