Berita

Dato Aishah Beri Nafas Baharu Lagu ‘Di Pinggir Kayangan’, Dendangan Asal Allahyarham Biduanita Datuk Sharifah Aini

Share

Merakamkan semula lagu-lagu lama yang pernah dipopularkan oleh artis-artis legenda
merupakan satu perkara biasa.

Ramai penyanyi di seluruh dunia yang kerap melakukan sedemikian kerana kebanyakan lagu-lagu lama ini mempunyai irama yang tidak lapuk ditelan zaman.

Apatah lagi selepas diberi nafas baharu, semakin ramai generasi masa kini yang dapat
menghargai karya-karya emas yang terlibat.

Tidak terkecuali, penyanyi senior Dato’ Aishah kini kembali dengan rakaman semula lagu ‘Di Pinggir Kayangan’ yang pernah dibawa oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.

“Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya sangat meminati suara beliau dan pernah berpeluang berkongsi pentas yang sama dengan arwah.

“Bagi saya karya tersebut merupakan sebuah lagu cinta yang mempunyai semangat positif dan gembira serta lenggok kemelayuan yang sangat merdu,” katanya.

Selain itu Aishah juga mahu anak-anak muda masa kini mengenali lagu-lagu lama yang bagus.

“Lagu-lagu seperti Di Pinggir Kayangan adalah sebuah lagu yang harus diperkenalkan
semula kepada generasi baru. Ia begitu bermakna buat saya kerana ia mengingatkan saya kepada idola saya tersebut,” tambahnya lagi.

Oleh kerana ia merupakan rakaman semula dengan nafas baharu, sudah tentunya terdapat beberapa perbezaan ketara dalam versi terbaharu ini.

“Akan kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan sudah semestinya suara saya
berbeza dari suara penyanyi asal.

“Malah ia dirakamkan dalam nota yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan yang asal,” katanya yang mengharapkan yang terbaik daripada pencinta muzik tempatan.

Di Pinggir Kayangan versi Aishah sudah boleh dimuat turun di semua platform muzik digital sejak 19 Julai lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

.
Published by
MH