Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin, 48, akhirnya mendedahkan dia sudah pun dilamar seseorang untuk menjadi teman hidup.
Nora, 48, yang juga balu komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi itu memetik Awani menjelaskan, lelaki yang mahu memperisterikan beliau itu merupakan personaliti yang bukan dalam kalangan orang terkenal.
“Saya fikir sudah sampai masanya untuk saya mengumumkan bahawa saya ada menerima lamaran daripada seseorang.
“Insya-Allah jika segala perancangan berjalan lancar, saya akan berkongsi mengenai hari bahagia saya dengan anda semua tidak lama lagi,” katanya.
Sebelum ini, timbul dakwaan yang kononnya penyanyi Hanya Satu itu dan Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bernikah di selatan Thailand.
“Demi Allah, saya dan Tan Sri (Annuar) tidak bernikah… saya sendiri tidak faham bagaimana ada pihak yang boleh buat tuduhan sedemikian.
“Sudah banyak kali saya nafi, Tan Sri juga sudah menafikannya, namun, masih ada yang nampaknya tidak percaya.
“Disebabkan itu, saya fikir sudah sampai masanya saya umumkan bahawa saya ada menerima lamaran pernikahan dan sedang merancang ke arah majlis itu,” akuinya lagi.
Nora turut menambah, kesediaannya untuk bernikah dibuat selepas berfikir sedalam-dalamnya selain direstui oleh anak-anak.
“Anak-anak ada berkata, mereka akan memberi sokongan pada apa sahaja keputusan yang baik buat saya. Mereka hanya mahu melihat ibu mereka gembira,” jelas Nora yang turut memaklumkan, keluarga di sebelahnya dan Allahyarham Johan turut sependapat sekiranya ada lelaki yang serius untuk memperisterikannya, elok sahaja dipertimbangkan.
Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992 dan hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.
Johan, bagaimanapun meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung, sementara anak kedua pasangan itu, Muhammad Syakir Aliff pula menghembuskan nafas terakhir pada usia 20 tahun pada 13 Disember 2019 lalu.
Sumber: Astro Awani