Uncategorized

Datuk Rafiena Alami Kerugian Cecah Ratusan Ribu Gara-Gara Pekerja Pecah Amanah!

Share

Penerbit drama dan filem, Datuk Rafiena Ezanee Ramli mengakui terpaksa menanggung kerugian sehinga ratusan ribu ringgit apabila salah seorang pekerjanya didapati telah melakukan pecah amanah.

Katanya lagi, selain penyelewengan melibatkan wang ringgit, individu berkenaan juga didakwa turut menyalahgunakan lima set peralatan teknikal produksinya, Darkwafe Pictures Sdn Bhd bagi tujuan sewaan kepada pihak ketiga.

“Benar, saya ada membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan kerana itu jugalah, saya mengalami kerugian yang mencecah ratusan ribu ringgit.

 

Tak sangka, individu terbabit merupakan pekerja yang sudah lama bersama syarikat saya, iaitu hampir enam tahun.

 

“Sehingga pada suatu tahap, saya sendiri tak pernah terfikir dia sanggup melakukan hal tersebut terhadap syarikat saya yang secara tidak langsung turut mengheret beberapa urusan syarikat turut alami masalah,” katanya kepada MH.

Ditanya mengenai bagaimana dia mulai menghidu ada kegiatan tidak sihat berlaku di kalangan pekerjanya, personaliti berusia 35 tahun ini mendedahkan, dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena sekitar dua bulan lalu ketika sibuk menyiapkan drama bersiri KL Meroyan dan Air Mata Syurga.

Malahan, dia turut meminta ibunya yang kebetulan sedang mengerjakan ibadah Umrah berdoa agar diberi petunjuk.

“Saya ada terdetik di dalam hati, macam ada sesuatu yang tak kena. Rasa tak sedap hati. Bagaimanapun, tak pasti apa yang sedang berlaku.

 

“Apa pun, saya syukur bila Allah memakbulkan doa ibu yang ketika itu berada di Mekah. Maha Kuasa, Dia memberi petunjuk sehingga satu demi satu penyelewengan yang dilakukan individu itu terbongkar,” kongsinya yang turut menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, Rafiena ditemui media sejurus selesai majlis pelancaran drama bersiri Air Mata Syurga lakonan Tasha Shila, Afiq Muiz, Haliza Misbun dan Elly Suriati di KLCC, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Drama hebat arahan Raja Ahmad Alauddin itu akan mula bersiaran 7 Mei depan, setiap hari Isnin dan Selasa, 9.00 malam menerusi saluran HyppSensasi (116), Unifi TV.

Published by
Rafiq Mazlan