Datuk Seri Siti Nurhaliza Tak Mahu Panjangkan Isu – “Yang Paling Penting Kita Saling Menghargai.”

Share

Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberikan respon mengenai dakwaan penyanyi, Aishah yang tidak sengaja menyekat akaun Instagram (IG) miliknya iaitu @ctdk, sebagaimana yang diperkatakan baru-baru ini.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 42, bagaimanapun memilih untuk tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan memandangkan dia sendiri ada ketikanya tidak berkesempatan untuk memegang atau memeriksa telefon bimbitnya.

Mengakui tidak dapat mencari akaun IG Aishah, Siti menyifatkan apa yang berlaku adalah perkara yang biasa terjadi dan bukan satu isu untuk diperbesarkan.

Baginya, paling penting ialah apabila semua pihak sentiasa saling menghargai.

 

“Tapi biasa la… kadang-kadang kita sendiri pun pernah tidak sengaja sekat akaun IG orang. Bagi saya, itu perkara biasa. Mungkin tak perasan. Tapi apa yang penting bagi saya, kita saling menghargai.

“Bila saya baca (artikel Aishah), baru saya tahu fasal isu ini. Sebelum ini, saya cari pun tak jumpa (IG Aishah),” katanya.

Penyanyi yang sinonim menerusi lagu Aku Bidadari Syurgamu yang kini sedang hamil lapan bulan itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single medley klasik Siti 1 dan produk minuman jeli berkhasiat ‘Aafiyah’, Beaukids, di Skyglass, Cyberjaya.

Single medley klasik Siti 1 mengandungi empat buah lagu berjudul Buai Laju-Laju, Tepuk Amai-Amai, Suriram dan Matahari.

Pada sama, permata hatinya itu turut diumumkan sebagai duta, sekali gus menjadi duta kecil kepada empayar perniagaan Siti iaitu CTDK Holdings Sdn Bhd.

Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai dakwaan yang mengatakan kononnya Aishah menyekat akaun instagram penyanyi tersebut.

Aishah dalam kenyataan di Instagram berkata, dia tidak sengaja menyekat akaun IG Siti kerana keliru dengan akaun palsu yang menggunakan nama Siti Nurhaliza.

Foto: Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

Published by
MH