Sering kali kita mendengar dialog ‘jika berkahwin dengan anggota tentera, pasti si isteri dan anak-anak akan selalu ditinggalkan’.
Meminta tanggapan stereotaip itu dihentikan, pengacara Dayah Bakar yang juga merupakan isteri kepada pegawai tentera, Kapten Muhammad Hanif, tampil menyuarakan pandangannya itu selepas menonton filem pecah panggung yang menceritakan tentang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Air Force: Selagi Bernyawa, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian yang diluahkan di laman Instagram miliknya, Dayah atau nama sebenarnya, Nur Hidayah Abu Bakar, 33, berkata filem itu sangat meninggalkan kesan buat dirinya malah lebih bertambah perasaan hormat dan bangga dengan pasukan keselamatan yang sentiasa berjuang untuk negara.
“Saya percaya hanya orang terpilih yang boleh jadi seorang tentera. Ia bukan satu pekerjaan, ia adalah satu amanah dan tanggungjawab.
“Yang dikorbankan bukan sahaja masa atau tenaga, malah nyawa yang menjadi taruhan. Keluarga ditinggalkan demi bersiap siaga di barisan hadapan.
“Maka, hentikan kata-kata ‘berkahwin dengan tentera, kesian selalu kene tinggal’. Mungkin mereka tidak mengerti, ini adalah takdir serta pilihan jiwa yang kuat, perjuangan cinta dan pengorbanan.
“Para pejuang negara yang telah pergi dan sedang bertugas, ikhlas berjuang, siang dan malam untuk kita sama-sama dapat dapat merasakan keamanan dan tidur yang lena. Ini bukan percuma teman-teman,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga turut memuji filem Air Force The Movie yang disifatkannya cukup ‘rencah’ sehingga membuatkan air matanya mengalir saat menyaksikan naskhah hebat itu.
“Sepanjang saya tonton, saya sangat fokus dan saya rasa tak duduk diam untuk tahu apa scene seterusnya.
“Little that I know, saya boleh rasa sebak, mata berkaca, rasa terharu, rasa sedih, rasa bangga. Senang cerita, saya menangis la.
“Ini bukannya perasaan masa ending tau, ini perasaan banyak kali in between the film. Keseluruhannya, sangat memuaskan. Mantap!
“Filem ini meninggalkan kesan, rasa hormat yang luar biasa buat semua pejuang negara, itu kuncinya!” puji Dayah.
Air Force The Movie yang dibintangi Datuk Adi Putra, Aiman Hakim, Scha Alyahya, Nas-T, Sara Ali dan Pablo Amirul setakat ini telah berjaya mengutip sebanyak RM13 juta.
Filem arahan Zulkarnaian Azhar dan Frank See itu mula menjengah pawagam sejak 25 Ogos lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Dayah Bakar