Tanggal 13 Julai 2007 menjadi detik bersejarah buat pelakon, Adam Corrie kerana itu adalah tarikh keramatnya memeluk Islam.
Adam ketika ditemui di sesi rakaman Naura Shares di Petaling Jaya pada Sabtu mulanya mengakui bahawa sering mengabaikan laungan azan.
“Apabila saya mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, saya akui saya mula lupa diri dan banyak berhibur, saya tidak mendengar orang azan, orang berzikir dan mengaji.
“Sedangkan masa di negeri asal (Pulau Pinang) saya suka dengar orang mengaji, tetapi apabila saya masuk KL, saya dah tak ada perasaan untuk dengar semua benda-benda itu,” kata ketika sesi rakaman sedang dijalankan.
Sering memegang watak antagonis dalam mana-mana filem atau drama, Adam akui bahawa dia gemar berhibur di kelab.
“Saya suka layan live band sambil minum minuman alkohol sampai habis.
“Tapi satu hari, saya pergi tempat yang sama, tapi segelas pun saya tak habis dan tiba-tiba telinga saya berdesing dan rasa sakit.
“Saya juga tidak boleh terima persekitaran di situ (kelab) sebab rasa rimas dan saya bergegas keluar dari situ.
“Automatik Allah nak beri hidayah kepada seseorang itu, saya mula tinggalkan semua. Alhamdulillah,” kongsi Adam jujur.
Beberapa minggu kemudian, Adam mengenali beberapa sahabat lain lalu nekad memeluk Islam.
Malah, Adam ketika itu sudah mempunyai idea untuk nama Islamnya sebelum mengucap syahadah keesokan harinya.
“Dekat rumah saya dah tulis siap-siap nama Islam iaitu Nazri bin Abdullah, tapi sampai di pejabat Islam, saya mula mengucap syahdah, ustaz tanya apa nama Islam, saya cakap Adam Corrie.
“Saya pun tak tahu dari mana datangnya nama Adam itu. Corrie tu tak apalah, memang nama asal saya.
“Alhamdulillah dengan izin Allah dan semuanya berjalan lancar ketika itu,” kongsi bapa kepada seorang cahaya mata ini.
Foto : Instagram Adam Corrie
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI