“Demi Kebaikan Saya Juga,” – Mamat Exists Dedah Masih Dalam Pantauan AADK

Share

Vokalis kumpulan Exists, Mamat mendedahkan dirinya masih lagi melaporkan diri ke Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Johor Bahru berikutan isu penyalahgunaan dadah pada tahun 2019.

Menurut Mamat, pergerakannya masih lagi perlu dipantau dan harus mendapatkan kebenaran daripada agensi tersebut sebelum keluar dari Johor.

“Bermula awal tahun ini, saya perlu melaporkan diri kepada AADK Johor Baharu jika mahu keluar kawasan untuk urusan kerja dan lain-lain.

“Selain itu, pada setiap sebulan, saya perlu mengikuti program kemasyarakatan yang dianjurkan agensi sebagai syarat dalam tempoh pemulihan.

“Saya tidak kisah mengikuti peraturan yang ditetapkan. Hal ini demi kebaikan saya juga dan saya juga tidak terasa terbeban dengan syarat ini,” katanya kepada MH.

Mamat berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran album live Exists Reunion X Shiraz Music yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center pada Rabu.

Bercakap mengenai konsert jelajah Exists yang dijadualkan akan berlangsung pada tahun hadapan, Mamat memaklumkan segala urusan perjalannya untuk menjalani sesi latihan di Kuala Lumpur telah pun diuruskan sepenuhnya oleh pihak penganjur.

Lantaran itu, dia tidak merasakan perjalanan ulang alik itu sebagai satu masalah.

“Alhamdulillah, segala urusan membabitkan kumpulan Exists akan diuruskan oleh pihak Shiraz Muzik.

“Saya pun tiada masalah untuk alang alik demi urusan kerja.

“Saya pun ada menjalankan perniagaan menjual makanan berhampiran di kawasan rumah saya. Jadi saya memang kerap ulang alik.

Ditanya mengenai desas desus bakal menamatkan zaman duda dalam masa terdekat, penyanyi yang popular menerusi lagu Untukmu Ibu itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

“Buat masa sekarang, tiada apa yang perlu saya jelaskan. InsyaAllah tapi no comment for now,” ujarnya.

Terdahulu, Mamat atau nama penuhnya, Mohd Ali Kamarudin telah ditahan pada 8 September 2019 ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru bersama seorang rakannya pada jam 11.30 malam kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu.

Insiden tersebut berlaku beberapa minggu sebelum Konsert Reunion Exists pada 28 September 2019.

Susulan insiden itu, Mamat difahamkan telah menjalani rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Exists dikhabarkan bakal mengadakan konsert jelajah pada tahun hadapan bermula di Singapura dan berakhir di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Published by
Aizam Manaf