
Demi Moore kembali mencuri tumpuan dalam dunia perfileman apabila berjaya merangkul trofi pelakon wanita terbaik filem Screen Actor Guild (SAG) Awards untuk prestasi cemerlangnya dalam filem The Substance.
Kemenangan ini menambahkan koleksi anugerah miliknya yang mana sebelum ini dia meraih kemenangan di Golden Globes dan Critics Choice Awards menerusi watak yang sama.
Dalam ucapan yang penuh emosi, Demi mengenang kembali pengalaman zaman mudanya dalam dunia lakonan yang penuh cabaran.
“Ini sangat luar biasa dan bermakna, saya sedang memikirkan malam ini dan saya sedar bahawa saya tidak pernah mengingat kembali ketika saya mendapat keahlian dalam organisasi hebat ini.
“Itu berlaku pada tahun 1978. Saya berumur 15, hampir 16 tahun. Ia mengubah hidup saya kerana ia memberikan erti kepada saya. Ia memberikan tujuan. Ia memberikan arah. Saya adalah seorang anak yang bersendirian tanpa panduan hidup.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai lakonan, tetapi saya menonton, mendengar dan belajar daripada anda semua,” ujarnya.
Dia turut mengiktiraf jasa pengarah, penerbit dan pengarah pemilihan pelakon yang pernah membuka peluang baginya untuk beraksi di bilik uji bakat.
Ucapan beliau menyentuh hati ramai dengan mesej agar pelakon muda tidak melupakan erti hubungan kemanusiaan dalam industri hiburan.
“Hubungan inilah yang menjadi nadi kepada kerja kita untuk saling terhubung,” tambah ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Dalam persaingan sengit di SAG Awards, Demi dicalonkan bersama nama-nama besar seperti Pamela Anderson (The Last Showgirl), Cynthia Erivo (Wicked), Karla Sofía Gascón (Emilia Pérez) dan Mikey Madison (Anora).
Walaupun dilabelkan sebagai calon popular menjelang Oscar, Mikey Madison juga dikatakan sebagai pesaing utama selepas memenangi anugerah di BAFTAs baru-baru ini.
Imbas kembali, filem The Substance menampilkan Demi sebagai Elizabeth Sparkle, bekas ikon kecergasan TV yang mencuba serum eksperimental untuk mengekalkan popularitinya.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI